Pemandu Honda Jazz mental disyaki mencuri sebelum rempuh penuntut UniSZA

Pemandu Honda Jazz mental disyaki mencuri sebelum rempuh kereta penuntut UniSZA

KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan meragut satu nyawa di simpang empat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, semalam mempunyai rekod rawatan psikiatri dan disyaki mencuri sebelum nahas berlaku.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, lelaki itu dipercayai menceroboh masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis Honda City yang diparkir di kawasan Stadium Darul Iman, di sini, sebelum melarikan beberapa barangan milik pemilik kenderaan termasuk wang tunai berjumlah RM200.

Katanya, dia kemudian masuk semula ke dalam kenderaan yang dipandunya iaitu sebuah Honda Jazz milik adiknya sebelum memecut keluar ke jalan raya.

“Suspek kemudian terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu seperti yang dirakam menerusi kamera papan pemuka dan tular dalam media sosial,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.38 petang semalam, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, dipercayai dalam perjalanan menuju ke Jalan Bukit Kecil ketika lampu isyarat bertukar hijau sebelum kereta dipandunya dirempuh kereta Honda Jazz yang menuruni bukit di lokasi kejadian.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

Menurut Azli, pemandu kereta Honda Jazz itu didapti mempunyai rekod rawatan psikiatri dan pernah beberapa kali mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

“Suspek disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD) dan mempunyai rekod rawatan sejak Januari 2025,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai khususnya pengguna media sosial supaya menghentikan sebarang bentuk spekulasi serta penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kejadian tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN