Pemergian Sheikh Khalifa kehilangan besar - Utusan Malaysia

Pemergian Sheikh Khalifa kehilangan besar

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat mengadakan pertemuan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat mengadakan pertemuan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Rombongan Seri Paduka berangkat tiba di Istana Mushrif (Istana Presiden) Abu Dhabi kira-kira pukul 12 tengah hari, waktu tempatan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, keberangkatan Seri Paduka telah diterima Sheikh Mohamed. 

“Dalam pertemuan secara bersemuka selama hampir satu jam ini, Seri Paduka berkenan menyampaikan titah salam takziah kepada Presiden dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu.

“Seterusnya mengucapkan tahniah di atas pelantikan Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan sebagai Presiden dan Ketua Negara Emiriah Arab Bersatu yang baharu.

“Seri Paduka  turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Almarhum Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan, mantan Presiden Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Abu Dhabi dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat Allah serta ditempatkan bersama orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut hadir di pertemuan tersebut, Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum; Pemerintah Fujairah, Sheikh Hamad bin Mohammed Al Sharqi; Pemerintah Syarjah Sheikh Sultan Al Mohamed Al Qasimi dan Menteri-Menteri Kabinet Emiriah Arab Bersatu yang lain.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menyifatkan pemergian Sheikh Khalifa sebagai kehilangan besar kepada rakyat Emiriah Arab Bersatu dan negara-negara Arab.

Seri Paduka menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.

“Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu mempunyai hubungan dua hala yang amat rapat dan mesra di pelbagai peringkat, termasuk kedua-dua pemimpin dan sesama rakyat.

“Seri Paduka turut bertitah bahawa hubungan dua hala yang sedia ada terjalin antara kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya