Tokoh media Israel cadang Mesir jadi sasaran selepas Iran - Utusan Malaysia

Tokoh media Israel cadang Mesir jadi sasaran selepas Iran

Pasukan penyelamat bekerja di tengah runtuhan bangunan selepas serangan peluru berpandu Iran di bandar Bat Yam, selatan Tel Aviv, awal pagi 15 Jun 2025. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Seorang tokoh media dan pakar hal ehwal Arab terkenal di Israel, Zvi Yehezkeli mencetuskan kontroversi selepas menggesa agar hubungan damai dingin antara Israel dan Mesir ditamatkan dan digantikan dengan satu bentuk perang dingin yang lebih terbuka.

Malah, beliau turut mencadangkan bahawa Mesir patut menjadi sasaran seterusnya bagi Israel selepas berakhirnya konflik dengan Iran.

Dalam satu perbincangan panel yang disiarkan secara langsung oleh saluran berita Israel i24NEWS, Yehezkeli menyatakan bahawa Mesir kini menunjukkan tanda-tanda jelas sedang beralih daripada pendirian damai dingin kepada sikap yang lebih agresif dan bermusuhan terhadap Israel.

Beliau mendakwa negara jiran selatan Israel itu semakin berani dalam tindak-tanduknya dan tidak lagi menyembunyikan ketegangan yang wujud sejak sekian lama.

Yehezkeli juga menyentuh mengenai sentimen awam di Mesir yang menurutnya tidak pernah mesra terhadap Israel selain rakyat Mesir mengikuti dengan teliti konflik antara Israel dan Iran serta menyokong Iran secara terbuka dalam perang yang baru sahaja berlalu.

Menurutnya, masyarakat yang sebelum ini bersikap kritikal terhadap Syiah kini dilihat menyebelahi Iran kerana kebencian mendalam terhadap Israel.

“Mereka yang dahulunya membenci Syiah, kini bersorak untuk Iran,” katanya.

Ketika ditanya sama ada konflik seterusnya yang mungkin tercetus akan melibatkan Mesir, Yehezkeli menjawab dengan tegas ia sepatutnya begitu.

Kenyataan itu disampaikan tanpa sebarang keraguan, mencerminkan kecenderungan yang semakin kuat dalam kalangan sesetengah pihak di Israel untuk memperluaskan skop konfrontasi ke arah negara-negara Arab yang lain.

Perbincangan itu turut menampilkan beberapa lagi tokoh penting dari Israel termasuk Edy Cohen, seorang orientalis dan personaliti media sosial; Ruth Wasserman Lande, pakar hal ehwal Timur Tengah; Yoni Ben Menachem, penasihat strategik dan orientalis; serta Eli Dekel, seorang pakar ketenteraan dan kolonel simpanan tentera Israel.

Dalam perbincangan tersebut, Eli Dekel turut melontarkan kritikan pedas terhadap Mesir khususnya berkaitan pergerakan dan tindakan ketenteraan negara itu di Semenanjung Sinai.

Menurut beliau, Israel mungkin sedang mengulangi kesilapan besar kerana tidak memberi perhatian serius terhadap ancaman yang berpotensi datang dari kawasan itu.

“Kita tidak benar-benar melihat apa yang sedang dilakukan oleh Mesir di Sinai dan itu boleh menjadi kesilapan besar kita yang seterusnya,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN