Pemandu bas cabul wanita diberkas di Melaka Sentral - Utusan Malaysia

Pemandu bas cabul wanita diberkas di Melaka Sentral

MELAKA Sentral, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemandu bas ditahan di Melaka Sentral di sini hari ini selepas dipercayai mencabul seorang penumpang wanita dalam perjalanan dari Kelantan ke Melaka.

Suspek berusia 27 tahun itu diberkas sebaik sahaja bas dipandunya tiba di terminal kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, sebaik sahaja menerima maklumat, sepasukan polis digerakkan ke terminal untuk menunggu ketibaan bas tersebut.

“Kita dapat maklumat seorang wanita telah dicabul suspek ketika bas itu berhenti di Ajil, Terengganu kira-kira pukul 4 pagi. Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang tidur sebelum terjaga apabila menyedari badannya diraba oleh suspek,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Meng Seah memberitahu, bagaimanapun kes tersebut akan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu susulan kejadian berlaku di Ajil.

“Namun demikian, kita telah meminta mangsa membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah pada pukul 12 tengah hari tadi,” katanya.

Dalam pada itu, kejadian tersebut turut dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh menerusi satu klip video berdurasi 3 minit 41 saat di laman sosial Facebooknya.

Beliau menerima kiriman mesej daripada kenalan Facebook memaklumkan kejadian yang menimpa wanita itu dan memintanya membantu menyelamatkan mangsa.

“Rakan saya ini memaklumkan rakannya telah dicabul oleh pemandu bas berkenaan dan saya meminta nombor telefon untuk menghubunginya. Mangsa dikatakan tidak menjerit kerana terlalu takut dan hanya mampu menangis teresak-esak ketika kejadian berlaku,” katanya.

Tambah Muhamad Akmal, beliau bersama beberapa rakan turut menunggu ketibaan bas tersebut di terminal bagi memastikan suspek berjaya diberkas dan mangsa diselamatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN