NIBONG TEBAL: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dijangka mula melaksanakan Pelan Kontingensi Bekalan Air untuk Seberang Perai Selatan (SPS) atau SPS-WSCP 2022 Khamis ini dalam usaha menangani isu bekalan air di sekitar daerah itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, keutamaan bekalan air diberikan kepada semua pengguna air domestik berdaftar yang tinggal di SPS selama 12 jam iaitu antara pukul 6.01 petang hingga 6 pagi berikutnya setiap hari.
“Pada waktu semalaman ini, bekalan air ke kawasan perindustrian Batu Kawan serta Bukit Minyak akan dikawal dan lebih banyak air akan dipam kekawasan perumahan di SPS.
“Memandangkan semua premis domestik perlu dilengkapi dengan tangki simpanan air selama 24 jam, langkah ini akan membolehkan pengguna domestik SPS mengisi tangki air mereka dan menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Jaseni berkata, antara pukul 6.01 pagi hingga 6 petang setiap hari pula, PBAPP akan membekalkan air seperti ‘biasa’ di seluruh Seberang Perai termasuk kawasan perindustrian Batu Kawan dan Bukit Minyak.
Katanya, memandangkan semua premis industri harus dilengkapi dengan kemudahan penyimpanan air selama 48 jam, SPS-WSCP 2022 tidak seharusnya menjejaskan operasi dan produktiviti mereka.
Dalam pada itu beliau memberitahu, pelaksanaan SPS-WSCP 2022 mungkin berterusan iaitu sehingga pengoperasian Pakej 12A Loji Rawatan Air Sungai Dua (LRA Sungai Dua) siap pada tahun 2023. – UTUSAN