PETALING JAYA: Kerajaan diingatkan berhati-hati terhadap sebarang rundingan mengenai perjanjian antarabangsa untuk meningkatkan tahap kesediaan bagi menghadapi pandemik di sesebuah negara seperti dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pakar kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, meskipun Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) secara asasnya bukanlah menggugat kedaulatan sesebuah negara, namun kekhuatiran mengenai perkara itu tetap perlu ada.
Namun, menurut beliau, IHR diperlukan apabila berlakunya kecemasan sekiranya sesebuah negara itu lambat bertindak terhadap pandemik tetapi tetap dengan persetujuan negara berkenaan.
“Sebab WHO ada peraturan dan dalam peraturan itu kata mesti ada rundingan dengan pihak kerajaan, tertakluk dengan undang-undang negara berkenaan dan tidak mengganggu kedaulatan negara.
“WHO kena bincang balik dengan negara sama ada nak hantar pasukan atau buat sekatan, jadi dia kena runding dan bukan terus ambil tindakan begitu saja.
“Jadi untuk kebaikan tak ada sampai ganggu ambil kuasa raja, tetapi khuatir tetap kena ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
WHO sebelum ini mengulangi desakan untuk mewujudkan perjanjian pandemik antarabangsa bagi memperkukuhkan persediaan agensi dunia itu berdepan pandemik selepas ini.
Malaysia bagaimanapun berpendirian sebarang pindaan terhadap IHR perlu menghormati prinsip kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan serta proses kedaulatan negara anggota.
Merunding
Justeru, Dr. Zainal berkata, pihak yang dipertanggungjawabkan untuk merunding berhubung IHR itu perlu menjalankan tugas secara jelas bagi mengelakkan sebarang perkara yang mungkin boleh menjejaskan kedaulatan negara.
“Pihak yang merunding kena betul-betul merunding tak nak jadi macam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), jadi kerisauan itu perlu ada tetapi jangan terlalu ekstrim,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengamal undang-undang, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, perlembagaan Malaysia tidak menyatakan atau memperuntukkan undang-undang antarabangsa disifatkan sebagai sebahagian daripada undang-undang negara atau perjanjian yang mengikat undang-undang Malaysia dengan undang-undang antarabangsa.
Katanya, ini kerana aplikasi undang-undang antarabangsa dalam sistem perundangan negara sering dijelaskan dari segi ‘doctrine of transformation’.
“IHR di sini boleh dikatakan mempunyai kesan yang sama seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), di mana meskipun Malaysia mengiktiraf perjanjian tersebut, tiada mana-mana anggota United Nation (UN) mampu untuk mempengaruhi agar perlembagaan Malaysia diubah.
“Selagi mana kedudukan perlembagaan dan undang-undang Malaysia dijamin dan tidak tergugat statusnya, kerajaan Malaysia bebas untuk mengiktiraf mana mana perjanjian yang dilihat boleh membawa kepada kemaslahatan nasional sejagat,” jelasnya.- UTUSAN










