Pak Man Driver - Utusan Malaysia

Pak Man Driver

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM ramai yang singgah bersarapan. Syukur. Meja tempat dia selalu duduk dengan secawan teh tarik dan sebungkus nasi lemak juga belum diduduki sesiapa. Deris Tukang dengan anak buahnya memang selalu awal. Pak Man tak kisah. Dia pelanggan setor kayu Mat Junus, tempat dia cari makan.
Pak Man menongkat basikalnya di birai kedai. Berjalan ke meja kosong di bucu atap. Ketika hendak menuju meja sarapan, langkahnya tersekat. Tangannya dipegang Deris Tukang.
“ Pak Man tahu tak mulai esok semua kedai diarah tutup. Kerajaan suruh berhenti niaga,” kata Deris Tukang. Bagai terkejut dari mimpi dipatuk ular. Pak Man berasa lututnya tercabut. “Kedai ini pun kena tutup,” tambah Deris Tukang.
Baru pagi ini dia disahkan. Sudah dua kali dia mendengar orang bercakap sejak kelmarin lagi. Covid-19 bermaharajalela merata dunia, Haji Leh Kubang Tangga terpaksa tunda hendak buat umrah di Mekah. Kuat benar sehingga semua orang takut. Hingga kedai kena tutup.
Pak Man masih tidak mahu percaya dengan berita yang dibawa Deris Tukang. Biarlah cerita itu tidak benar. Covid-19 itu tidak datang ke setor tempat dia cari makan. Hendak dengar dari mulut tauke Mat Junuh sendiri. Kalau kedai tutup, dia nak kerja apa? Tidak bekerja, tidak ada upah. Mat Junuh akan bagi upah jika dia bawa lori kecil miliknya itu. Menghantar atap, simen, kayu dan lain-lain ke tempat pembeli.
Kiranya setor kayu itu tutup, macam mana pembeli hendak datang. Bermakna lori tidak dapat bergerak. Upah harian bawa lori berkepala merah itu bukan banyak pun. Sehari bawa lori dia diupah RM50. Sudah acap kali dia minta tambahan. Mat Junuh buat diam sahaja.
Mujurlah anak lelakinya yang tinggal di Kuala Pilah itu pulang sekali-sekala, hulur seratus dua. Pak Man hirup teh tarik dengan perasan sebu dan serabut. Kalau benar kata Deris Tukang dan dikotakan pula oleh Mat Junuh, ke manalah dia hendak cari duit belanja?
Mek Mah langsung tidak boleh bertolak ansur. Kalau dia lewat serah sewa, leternya memanjang. Sakit telinga mendengarnya. Tetapi apa yang boleh dibuat. Hendak mencari rumah lain, mana akan dapat dengan sewa harga sebegitu. Paling rendah nilainya tiga ratus. Pak Man tidak mampu.
Sudin, pembantu kedai Pak Dol Nasi Lemak mendatangi Pak Man membawa segelas teh tarik. “ Esok kita tutup, “ katanya. Dia menolak sebuah dulang plastik berisi beberapa bungkus nasi lemak kepada Pak Man. “Kerajaan suruh tutup.”
“Kedai tempat Pak Man kerja tak tutup sama ke?” tanya Sudin.
“Aku kerja bawa lori tauke. Angkat kayu dari setor ke rumah pembeli,” balas Pak Man. Terus membuka bungkusan nasi lemak lauk ikan kegemarannya. Dihirupnya teh yang separuh panas itu sekali. Dilihatnya Deris Tukang menuju mejanya.
“Sementara setor kayu Mat Junuh buka hari ini, aku nak cari kayu saiz dua tiga sepuluh batang, dua empat lima batang, kayu dua-dua lapan, papan lantai seraya enam keping. Kalau boleh Pak Man hantar juga hari ini,” kata Deris Tukang.
“Hari ini aku belanja Pak Man. Esok Pak Man kena buat air dan nasi lemak sendiri.” Ditepuknya bahu Pak Man dua kali. Pak Man tergamam. Tidak tahu apa sepatutnya dia menjawab. Sejak jadi driver lori Mat Junuh dua tiga tahun ini, kedai kopi Pak Dol inilah tempat dia singgah setiap pagi sebelum ke setor kayu milik lelaki berbini dua itu. Pada pagi Jumaat ketika kedai Pak Dol tutup, Pak Man berkayuh basikal tuanya agak jauh juga, mencari roti canai Maulana di simpang empat.
“Kalau kedai itu buka, boleh saya cari kerja di situ,” kata Sudin sebelum beredar ke meja dekat peti simpan air batu. Empat pelanggan baru mengambil tempat. Sudin membuka buku kecil dan pen, bertanya jenis minuman yang mereka kehendaki.
“Aku tak tahu ada kosong atau tidak,” bisik Pak Man melihat dari jauh anak yatim piatu arwah Khalid dan Lijah yang meninggal serentak di jalan raya dua tahun lalu itu.
Lima belas minit sahaja Pak Man mengayuh basikalnya ke setor kayu Mat Junuh. Rumah tauke kayu yang bersambung dengan setor itu masih tertutup rapat. Sejurus selepas dia menyimpan basikalnya, kelihatan Mat Junuh membuka tingkap.
“Awalnya kamu sampai Pak Man?” tegur Mat Junuh. Menyerahkan kunci setor kepada Pak Man. Pak Man tersengih. Memang dia datang awal daripada biasa. Tak sedap duduk lama-lama di kedai Pak Dol seperti selalu.
Ada gangguan di sana-sini. Rasa ingin tahu nasibnya seberapa cepat yang boleh. Kalau tidak boleh bawa lori, dia hendak tahu juga tempoh setor kayu itu ditutup. Kalau sangat lama, Pak Man kena mencari kerja di tempat lain. Tetapi Mat Junuh senyap sahaja ketika mencampakkan kunci setor kepadanya.
Atau Mat Junuh tidak tahu apa-apa perintah kerajaan itu. Mustahil tauke itu tidak tahu kerana berita itu sudah heboh. Atau Mat Junuh tidak mahu ikut arahan? Kalau Mat Junuh buat keputusan begitu, Pak Man rasa syukur sangat.
Pak Man berehat di sebuah kerusi di sisi meja kerani sementara menunggu Mek Ramlah, anak dara Che Lah sampai. Tempias angin pagi membantu mendamaikan hatinya yang mula berkecamuk. Matanya tertumpu kepada kayu-kayu yang bertindih-tindih di dalam dua bangsal beratap zink itu bagai timbunan rasa gundahnya.
Dia menjadi lega sedikit apabila terlihat Mek Ramlah menderu masuk dengan motornya. Terus ke meja kerjanya. Tidak ternampak rasa resah seperti dialaminya. Gadis berbadan gempal itu meletakkan beg tangannya di atas meja. Mengambil kunci dari dalam begnya itu, kemudian menarik laci kerjanya.
“Banyak tempahan belum dihantar, Pak Man. Cheli minta cuti dua hari pula Anaknya demam dan batuk-batuk. Entah-entah kena Covid-19.
“ Tak larat buat seorang diri, Mek,” rungut Pak Man.
Mek Ramlah mengambil fail tempahan. Ditarik beberapa helai bil tunai. Dibentangkan di depan Pak Man. Rasa hendak bertanya sahaja kisah kerjanya. Tetapi tiba-tiba mulutnya terkunci. Mek Ramlah bukan ada kuasa berhentikan pekerja. Entah-entah anak dara banyak mulut itu juga kena berhenti. Apapun tunggu kata putus Mat Junuh, fikir Pak Man.
“ Pak Man tengok mana yang boleh dihantar dulu. Setakat Pak Man larat. Pilih tempahan yang tak banyak asalkan jangan salah pilih kayu macam hari itu,” ujar Mek Ramlah. Teringat ketika dia dimarah oleh tukang rumah kerana menghantar ukuran kayu yang salah.
Mat Junuh yang bertopi kelabu asap muncul di pintu pagar setor. Terus melangkah ke arah Mek Ramlah. Lutut Pak Man seperti diterbang angin. Dadanya berdebar-debar. Resah semakin mengembang.
“Berapa banyak lagi tempahan yang tidak dihantar?” tanyanya kepada Mek Ramlah. Matanya liar ke dalam setor.
“Mana Cheli ?”
Cheli minta cuti dua hari ?”
“Asyik cuti saja. Kenapa ?”
“ Anaknya demam campur batuk. Dia syak terkena Covid”
Mat Junus kelu. Kalau Cheli kena, mereka juga terpalit. Muka Mat Junuh kelihatan cemas. Pak Man tidak berani hendak menyapa.
“ Kita kena tutup jualan Mek. Jangan terima lagi,” katanya. Deris Tukang telefon saya tadi. Dia nak pakai kayu dan papan lantai segera. Kejap lagi dia datang order. Pak Man kena hantar juga hari ini ke Kampung Merah Jambu.”
Pak Man memandang Mek Ramlah. Hendak melihat gerak muka anak dara itu apabila tokeh kayu itu tidak akan menerima tempahan kecuali Deris Tukang. Mat Junuh beralih kepada Pak Man. Kedua tangan Pak Man diletakkan ke perutnya.
“Dia akan datang pilih sendiri, masuk dalam lori. Pak Man tanya Deris tempat yang hendak dihantar.” Satu-satu dituturkan Mat Junuh. Pak Man angguk dua tiga kali.
Akhirnya Pak Man beranikan diri membuka mulut. Berdiri mengadap tauke kayu yang selalu disebutnya Encik Mat. “Kata Mek Ramlah, ada enam lagi tempahan yang belum dihantar,” kata Pak Man.
“Tak sempat kalau nak hantar semuanya hari ini.”
“Tak apa, saya dah beritahu mereka, lewat dua tiga hari.”
Maksudnya saya boleh kerja lagi? Itu yang hendak ditanya. Sekali lagi mulutnya bagai dijahit-jahit. Tadi, tauke itu juga berkata tempahan kayu akan diberhentikan. Mek Ramlah berlari anak kepada Mat Junuh dengan menyerahkan telefon mudah alih. “ Haji Yusof nak cakap, “ kata Mek Ramlah.
“Apa hal haji?” Sesuatu dituturkan oleh Haji Yusof. Pak Man tidak dapat menangkapmya. Tak apalah, bukan urusan dia.
“Maaf haji. Tempahan boleh, tapi jaminan menghantarnya tidak pasti. Setor kita diarah tutup. Tak tahu bila buka semula.”
Sudah sah, setor kayu tempat dia kerja akan ditutup. Bukan lagi orang lain yang cakap. Mat Junuh sendiri beritahu pelanggannya. Sahlah dia juga akan diberhentikan. Tidak tahu bila pula setor akan dibuka. Kalau kerajaan kata tiga bulan, tiga bulanlah. Kalau setahun, setahunlah.
“Pak Man, selesai hantar semua kayu ke tempat tempahan, kita akan tutup sementara. Saya minta maaf. PKP memang menyusahkan.
“Bukan menyusahkan Encik Mat, tapi menyeksakan orang macam saya, “ balas Pak Man.
“Buat sementara, Pak Man carilah kerja di tempat lain. Setor buka, Pak Man balik kerja semula.”
“ Encik Mat suruh saya cari kerja di tempat lain. Kalau semua tempat tutup, saya nak cari kerja dekat mana lagi ?” Pak Man naik geram. Memang dia tidak pernah bertutur segeram itu. Sedih bercampur marah.
“ Saya dengar cerita anak lelaki Pak Man yang tinggal di Kuala Pilah itu selalu balik. Hulur belanja tambahan. Mintalah dia bagi lebih sikit,” kata Mat Junuh.
Pak Man sangat bersyukur dengan anak lelaki yang masih tinggal itu. Sejak emaknya sakit, dia cuti tanpa gaji dari majikan semata-mata untuk jaga emak.
“ Emak Jamal seorang saja ayah. Demi emak, saya balik,” kata anak lelaki yang budiman itu. Dia tidak mahu ayahnya berhenti memandu lori milik setor kayu Mat Junuh.
“Makan ayah, makan emak, makan Jamal.”
Selepas emaknya meninggal dunia kerana penyakit ketumbuhan di dalam perut, dengan izin Allah Jamal mendapat kerja semula. Taukenya memindahkan dia bekerja di pejabat besar Shah Alam. Dari Shah Alam dia ke Kuala Pilah. Sejak memiliki kereta, Jamal kerap jengok ayahnya yang menyewa rumah Mek Mah. Anaknya itulah yang membayar sewa rumah teres berbilik dua itu.
“Tapi kata Deris Tukang tadi mulai esok orang ramai tidak dibenarkan melintas negeri. Anak saya selalu balik hujung bulan hulur pitis. Tapi kiranya tidak boleh lintas negeri, macam mana dia nak hantar duit ? Zalimlah macam itu. Kalau Mek Mah halau saya, di mana saya nak tidur ? ”
Mat Junuh diam. Luahan Pak Man itu susah hendak dijawabnya. Memang memedihkan, ulu hati Pak Man ikut rasa sedih.
“Saya bukan diberi gaji bulan macam Mek Ramlah. Kalau lori rosak dua tiga hari, dua tiga hari saya tak masuk kerja. Tiga hari saya tak masuk duit.”
Mat Junuh terus diam.
Esoknya selepas menghantar kayu ke Kampung Durian Sebatang dan Parit Pisang, Pak Man melencong ke Jaya Hypermarket. Dia tebalkan muka bertanya seorang pekerja yang baru selesai menolak troli.
“Di mana saya boleh jumpa tauke pasar raya ?” tanyanya.
“ Apa hal pak ?” pekerja itu bertanya balas.
“Ada hal sikit.”
Pekerja itu membawa Pak Man ke sebuah bilik cermin gelap. Berbetulan pengurus itu tiada tetamu. Pak Man terus duduk di kerusi berhadapan pengurus muda, sebaya anaknya. Mencuba nasib.
“Apa hal Pak? “ tanya pengurus berbaju batik Jawa. Jarinya menarikkan sebatang pensel. Badannya disandarkan ke kerusi yang boleh dipusingkan. Pak Man mengatur kata. Bercerita tentang nasibnya. Terdesak menjadikan dia beroleh keberanian. Bersedia untuk dimarahi.
“ Tak kerja driver pun tak apa. Kerja pikul memikul pun saya terima.”
Pengurus itu memandang Pak Man atas bawah. “Memang saya sudah berumur. Dekat 60. Tapi saya kerap kelek simen setor Mat Junuh ke rumah pembeli. Tengoklah lengan saya berurat-urat. Pandanglah.”
“Kerja itu ada, angkat mengangkat,” kata pengurus. Pak Man rasa lega. “Biasanya dua kali seminggu apabila treler sampai dari Kuala Lumpur. Itu saja ada. Tetapi Pak Man tunggu panggilan sayalah.”
Pak Man tersintak. Dia bukan ada telefon. “Saya tak ada telefon, tuan.” Pengurus mengeluh. Dia berterus terang kepada Pak Man, “Kalau macam itu, saya tak dapat tolong Pak Man. Minta maaf Pak Man.”
Pak Man keluar dengan longlai. Memanjat lori kepala merah yang diletak jauh dari di sisi jalan. Dia bersandar agak lama. Dunia-dunia, bisik hati kecilnya. Salah apalah negara ini sehingga bala wabak sebegini menimpa? Banyak fitnah pun boleh jadi juga.
Pak Man memandu balik lori kecilnya ke setor kayu Mat Junuh. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya