Pahang peruntuk RM35 juta tingkat kecekapan pengurusan banjir

Pahang peruntuk RM35 juta tingkat kecekapan pengurusan banjir

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersetuju memperuntukkan RM35 juta untuk melaksanakan perolehan dan perbelanjaan meningkatkan kecekapan pengurusan banjir negeri ini.

Antara keputusan berhubung perolehan itu adalah pembelian tiga bot amphibia, pembelian sebuah bot hovercraft, membina enam Pusat Pemindahan Banjir Kekal dan pembinaan landasan pendaratan helikopter di Benta (Lipis), Kampung Rening (Cameron Highlands), Bandar Temerloh dan Lanchang (Temerloh) serta Chenor di Maran. 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MMK turut bersetuju membeli instrumen Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh di Cameron Highlands dan Sistem Amaran Banjir di Raub. 

“Turut dipersetujui pembelian bot-bot menyelamat yang ditempatkan di pejabat pejabat penghulu dan pelaksanaan kursus khas pengurusan bencana banjir kepada petugas-petugas di peringkat daerah.

“Kesemua perolehan dan perbelanjaan ini dianggarkan bernilai kira-kira RM35 juta,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga sedang menyelaras beberapa lagi tindakan perolehan dan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan bencana banjir sentiasa lancar dan efisien. 

Namun, katanya, pendekatan yang diambil adalah berbeza berdasarkan keperluan dan permintaan di setiap daerah.

“Saya berharap dengan perolehan dan perbelanjaan ini, semua pihak khususnya pasukan penyelamat dan petugas barisan hadapan sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang situasi bencana pada bila-bila masa terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Bagi saya, pasukan penyelamat dan petugas barisan hadapan sememangnya perlu dibekalkan dengan kelengkapan yang bersesuaian serta latihan dan ilmu yang sepatutnya kerana mereka terdedah kepada risiko besar ketika berlakunya sesuatu bencana,” katanya. 

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha bagi menambah baik keperluan dan kelengkapan sedia ada yang dibekalkan kepada setiap petugas. 

“Saya berdoa agar negeri Pahang dan rakyatnya sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang musibah, wabak penyakit dan malapetaka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN