Mustafar AR rancang tulis buku Maria Menado

Mustafar AR rancang tulis buku Maria Menado

MUSZAIDI Mustafar menunjukkan gambar kenangan Allahyarham bapanya ketika menerima rawatan di hospital pada hari pertama Aidilfitri, baru-baru ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas wartawan hiburan Utusan Melayu, Mustafar Abdul Rahim atau lebih dikenali dengan nama Mustafar AR, 79, yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini malam semalam, berhasrat menghasilkan buku mengenai seniwati veteran, Datuk Seri Maria Menado.

Menurut anak kedua Allahyarham, Muszaidi Mustafar, 50, bapanya sebelum ini pernah menghasilkan dua nashkah buku bertajuk Filem-Filem P. Ramlee bersama seniman Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan sebuah lagi buku bertajuk 50 Tahun Filem Malaysia & Singapura (1930-1980), juga hasil cetusan idea seniman tersebut.

“Selepas bersara dia fokus dalam penghasilan buku mengenai filem. Arwah bapa tidak banyak bercerita tentang perancangan mengenai kisah buku yang mahu ditulis kerana lebih banyak berdiam diri.

“Bagaimanapun, arwah pernah memberitahu kepada kami yang dia pernah merancang menghasilkan buku mengenai Maria Menado namun tidak kesampaian atas pelbagai faktor.

“Selain itu, selepas berhenti bekerja sebagai wartawan hiburan, arwah sering menulis melalui blog iaitu www.filemklasikmalaysia.blogspot.com dan menerusi akaun Facebook miliknya, Mustafa AR,” katanya ketika ditemui di Taman Desa Ixora, Senawang di sini semalam.

Muszaidi memberitahu, Allahyarham bapanya meninggal dunia di HTJ kira-kira pukul 7.25 malam selepas mendapatkan rawatan di hospital berkenaan akibat komplikasi jantung, buah pinggang dan paru-paru.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Taman Bandar Senawang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang dekat sini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Zaini Yusop, 76 dan empat anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 41 sehingga 51 tahun serta 15 orang cucu dan dua cucu tiri.

Allahyarham mula bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu pada tahun 1972 sebelum bersara di akhbar Utusan Malaysia pada tahun 1998.

Difahamkan, Allahyarham juga antara pelopor Pesta Filem Malaysia (PFM) pada tahun 1980 yang ketika itu digerak dan dijayakan oleh Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia sebelum penganjurannya diambil alih oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya