Oleh MUHAMMAD
SHAHIZAM TAZALI
[email protected]
MELAKA: Barisan kepemimpinan kerajaan negeri harus memberi sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk memimpin bagi menjayakan agenda pembangunan yang telah dirancang.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Adly Zahari berkata, gangguan yang wujud untuk menjatuhkan Sulaiman hanya menyebabkan keadaan menjadi tidak stabil dan kesan besarnya akan dirasai oleh rakyat.
Beliau berkata, rakyat telah membuat keputusan dan mengharapkan kerajaan negeri hari ini menunaikan janji yang dibuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu.
“Politik memang begitu. Kestabilan kerajaan negeri harus disokong oleh semua pihak agar Ketua Menteri boleh melaksanakan apa yang telah dijanjikan.
“Nasihat saya kepada kerajaan negeri dan ahli politik sedia ada supaya memberi peluang kepada beliau dalam penggal ini untuk memimpin. Saya fikir itu yang sepatutnya dilakukan kerana rakyat sudah buat keputusan,” kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu ketika ditemui Utusan Malaysia.
Spekulasi peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 itu mula kecoh apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad memaklumkan, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan Sulaiman terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.
Mengenai pendirian pembangkang jika berlaku undi tidak percaya terhadap Sulaiman, Adly menjelaskan, sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu terlibat dengan isu-isu besar seperti integriti dan pecah amanah, maka ketidakpercayaan itu wajar dipertimbangkan.
Katanya, ketidakpercayaan mesti mempunyai alasan yang kukuh dan bukannya didorong oleh persaingan politik semata-mata.
“Kalau sebab persaingan politik, saya fikir itu tidak wajar. Ketua Menteri perlu ada political will (kehendak politik) untuk memajukan Melaka dan kehendak itu hanya boleh datang dengan sokongan sebulat suara daripada semua kepemimpinan rakyat negeri ini.
“Sebab itu Pakatan Harapan (PH) menetapkan tempoh dua penggal kepada Ketua Menteri. Dalam tempoh ini, berikan beliau ruang dan jika terlibat dengan isu-isu besar, mungkin itu (ketidakpercayaan) boleh dipertimbangkan,” ujarnya yang juga ADUN Bukit Katil.










