PETALING JAYA: Malaysia dan Jepun memeterai tiga memorandum persefahaman kerjasama (MoU) hasil lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara matahari terbit itu yang berakhir hari ini.
Ismail Sabri berkata, memorandum kerjasama itu antaranya melibatkan Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai peneraju dengan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun (METI) mengenai industri pesawat.
“Kedua-dua negara menyaksikan pemeteraian memorandum kerjasama dalam rangka kerja asas bagi Perkongsian Maklumat Operasi berkaitan Sumber Pekerja Asing dengan status penduduk kategori pekerja mahir yang dikenal pasti diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.
“Selain itu, Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT) mengenai kerjasama dalam bidang belia serta sukan diterajui Kementerian Belia dan Sukan,” katanya semasa sesi bersama media Malaysia sempena lawatan kerja rasminya di Jepun.
Beliau mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun bermula 23 Mei lalu sebagai satu kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.
Kata Ismail Sabri, beliau telah mengadakan sesi libat urus dan ramah mesra bersama hampir 30 syarikat konglomerat Jepun dan syarikat-syarikat multinasional negara itu seperti Mitsubishi Corporation, Mitsui & Co Ltd., Marubeni Corporation, Aeon Co Ltd., Japan Petroleum Exploration Co. Ltd dan ENEOS Coproration yang telah menyatakan hasrat menerokai peluang perdagangan dan meningkatkan pelaburan di negara ini.
Selain itu, beliau menyatakan kesediaan negara untuk meneruskan Dasar Pandang ke Timur (DPT) dengan Jepun menerusi program-program kerjasama baharu seperti tenaga, bandar pintar, alam sekitar dan perubahan iklim manakala Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, menyambut baik perkara itu.
“Bagi meningkatkan taraf perkongsian Malaysia-Jepun pula, kedua-dua negara bersama-sama menetapkan panggilan sesuai seperti Perkongsian Strategik Komprehensif atau seumpamanya, pelan-pelan tindakan yang akan dilaksanakan serta tempoh masa sesuai bagi pelancaran perkongsian lebih komprehensif ini,” katanya.
Katanya, beliau menyokong cadangan Kishida mengenai penubuhan Asia Zrea Emissions Community yang dilihat sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang meletakkan sasaran mengurangkan 45 peratus intensiti pelepasan karbon pada 2030 dan pengurangan sama pada kadar 60 peratus pada 2035.
“Malaysia dan Jepun juga bersetuju supaya bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan terus ditingkatkan. Kamu setuju kedua-dua negara meneroka kerjasama dalam bidang baharu termasuk industri termaju (cutting edge industries), industri penerbangan dan angkasa, bandar pintar, bekalan tenaga dan perubahan iklim,” katanya.
Kata Ismail Sabri, kedua-dua kerajaan bersetuju memperkukuh ekonomi dan hubungan dalam konteks Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Saya memberi jaminan kepada Kishida bahawa proses penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat memandangkan hasrat menubuhkannya telah diutarakan pada Jun 2018 bagi memberi lebih pendedahan dan akses kepada sistem pendidikan Jepun kepada pelajar Malaysia,” katanya. – UTUSAN