GEORGETOWN: Pengguna di negeri ini terus tertekan dengan isu bekalan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram apabila mendakwa semakin sukar memperoleh barang keperluan utama itu di kedai runcit selepas Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Malaysia di lebih lima buah premis perniagaan di sekitar pusat bandar di sini semalam mendapati, hanya individu yang dikenali peniaga berpeluang menerima bekalan minyak tersebut berbanding pelanggan baharu.
Bukan setakat itu, jumlah pembeliannya juga masih terhad kepada minimum sepaket seorang selain dikehendaki membeli barangan keperluan lain di premis sama.
Seorang pelanggan yang juga suri rumah, Aina Mardhia Ismail, 38, berkata, dia terpaksa mencari bekalan minyak masak paket di empat buah kedai runcit berhampiran rumahnya termasuk di pasar awam.
Menurutnya, perkara tersebut berlaku sebelum Ramadan lalu dan berlarutan sehingga ke hari ini.
“Sebelum ini, peniaga mendakwa kehabisan minyak masak paket satu kilogram disebabkan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peniaga bazar Ramadan.
“Kali ini, bulan Ramadan sudahpun berlalu, namun, bekalan barangan utama suri rumah itu tetap tiada dan berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi peniaga kecil gerai ayam goreng RM1, Fadzil Nusi, 36, memberitahu, dia kini jenuh mencari bekalan minyak masak bersubsidi itu di lebih enam kedai runcit di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya.
“Hendak dapat dua paket minyak masak di kedai runcit dan syarikat peruncitan pun payah. Saya kena pergi ke lebih enam buah premis untuk membeli kira-kira lapan hingga 10 paket minyak masak ketika ini.
“Saya juga terpaksa guna minyak masak paket disebabkan tidak mampu berdepan dengan kos kenaikan harga barangan yang terlampau selepas Aidilfitri termasuk rempah ratus dan kacang,” jelasnya. – UTUSAN










