PETALING JAYA: Memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia, dengan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei lalu menyaksikan seorang pembantu rumah hanya dibenarkan melakukan satu kerja ketika diambil bekerja.
Ini bermakna, seorang pembantu rumah dari negara berkenaan tidak bertugas secara multitasking (berbilang tugas) bagi satu isi rumah seperti sebelum ini.
Contohnya, sebelum mengambil pembantu rumah, setiap majikan perlu jelas tentang tugasan amah tersebut seperti untuk menjaga orang tua, menjaga anak kecil atau untuk memasak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, mengikut MoU tersebut, syarat mengambil pembantu rumah sangat ketat dan keseluruhannya membebankan majikan Malaysia.
Menurut beliau, mengikut amalan biasa, sudah tentu pembantu rumah dengan gaji RM1,500 dikehendaki melakukan semua kerja di rumah seperti menjaga anak, memasak, membersih rumah dan juga membasuh pakaian.
“Jika ikut MoU tersebut, ini bermakna setiap majikan memerlukan sekurang-kurangnya tiga amah dalam sebuah rumah iaitu untuk menjaga sama ada orang tua atau budak kecil, bertugas sebagai tukang masak dan seorang lagi untuk menjadi tukang sapu.
“Kalau sebelum ini, seorang pembantu rumah dengan gaji RM1,000 boleh buat semua. Sekarang sangat mahal, sampai kena ambil tiga pembantu rumah. Kalau macam itu majikan kena bayar RM4,500 sebulan, tak makan nasilah jawabnya,” katanya.
Gaji minimum
Sehubungan itu, Engku Ahmad mempersoalkan kewajaran pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan terhadap seorang pembantu rumah yang hanya melakukan satu tugasan setiap hari.
Ini susulan kerajaan kekal dengan pendirian bahawa gaji bagi PDI dibayar tidak kurang daripada kadar gaji minimum yang sedang terpakai di negara ini seperti yang dipersetujui dalam MoU yang ditandatangani pada 1 April lalu.
Mengulas lanjut, Engku Ahmad menyifatkan MoU itu tidak adil dan terlalu memihak kepada Indonesia.
“Gaji dan tugasan tidak seimbang, MoU juga dilihat berat sebelah. Majikan di Malaysia tidaklah jahat sangat, apabila ini ditetapkan, siapa yang mampu tanggung gaji?
“Kita akui kes dera amah itu wujud tetapi berapa peratus sahaja yang terlibat? Hanya satu peratus. Kalau macam itu, baik mereka tak payah datang balik, sebab majikan pun sering menjadi mangsa. Ada yang melarikan diri, ada yang mencuri, jangan sampai kita boikot Indonesia,” katanya.
Justeru beliau meminta kerajaan mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya, sebelum keadaan bertambah buruk.
“Jangan dipolitikkan isu amah ini. Apa salahnya jika kita laksanakan sistem pembantu rumah secara separuh masa, wujudkan Grabmaid misalnya, ini boleh menyelesaikan banyak masalah,” katanya.
Sebelum ini, lebih 30,000 pembantu rumah dijangka tiba di negara ini dalam tempoh tiga bulan akan datang selepas MoU PDI ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (PIKAP), Fiona Low berkata, jika isu pembantu rumah ketika ini tidak ditangani segera, lebih ramai yang akan mengambil pembantu rumah secara haram.
“Sistem kemasukan dan pengambilan pekerja perlu telus dan mempunyai inisiatif yang melindungi pekerja bagi mencegah kemasukan haram dan kami juga mengharapkan proses pengambilan berjalan lancar.
“Namun, proses ini panjang dan rumit, memerlukan masa lebih kurang tiga bulan untuk mereka sampai ke sini, jadi kita berharap kerajaan dapat membuat pengumuman tentang ketelusan dan proses serta prosedur yang ada dalam sistem ini segera,” katanya.- UTUSAN










