SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengadakan perbincangan berkaitan keperluan undang-undang bagi menjelaskan kedudukan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai agama Islam yang diamalkan di negeri ini.
Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, objektif utama perbincangan itu bertujuan mendapatkan input dan pandangan daripada semua pakar terutama berkaitan agama Islam.
Katanya, ia melibatkan keperluan mengadakan peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri yang menjelaskan kedudukan fahaman dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah di Selangor.
“Cadangan dan saranan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan disambut baik untuk menambah baik perundangan sedia ada.
“Perbincangan meja bulat itu diharap mencapai resolusi yang boleh menjawab isu berbangkit dan menjadi panduan kepada MAIS untuk menentukan hala tuju pindaan undang-undang mengenainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perbincangan meja bulat itu selama sehari itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undangnya, Datuk Salim Soib@Hamid di sebuah hotel di sini yang membariskan pembentang antaranya Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz. – UTUSAN










