LUMUT: Seorang lelaki warga Bangladesh yang diburu selepas disyaki membunuh rakan senegara pada awal pagi Aidilfitri lalu, berjaya diberkas tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek ditahan di sebuah premis mencuci kenderaan di Sitiawan kira-kira pukul 12.50 tengah malam.
“Hasil daripada maklumat orang awam, sepasukan polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya menahan suspek dan turut merampas senjata yang dipercayai digunakan untuk menikam si mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan penangkapan itu, Nor Omar percaya kes tersebut telah berjaya diselesaikan dan suspek yang berusia 26 tahun akan dibawa ke Mahkamah Seri Manjung untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan suspek melalui kenyataan media yang disiarkan media semalam.
Semalam, polis meminta kerjasama orang ramai mengesan seorang lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki dari negara sama disyaki dibunuh di atas bumbung sebuah premis rumah kedai di Sitiawan, dekat sini.
Suspek dikenali sebagai Al Amin dikehendaki untuk membantu polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes tersebut.
Sebelum ini akhbar ini melaporkan, lelaki warga Bangladesh ditemui mati dipercayai dibunuh rakan senegara dalam pergaduhan di tingkat atas bumbung sebuah bangunan kedai di Sitiawan pada 2 Mei lalu.
Mangsa berusia 39 tahun dan suspek berusia 26 tahun bekerja sebagai operator di sebuah kilang dan mereka tinggal di rumah yang sama bersama tujuh lagi lelaki warga Bangladesh.
Ketika kejadian dua lelaki tersebut dipercayai naik ke bumbung premis untuk berbual, manakala yang lain tidur di tingkat bawah sebelum seorang rakan serumah mangsa terdengar bunyi bising dari tingkat atas bumbung.
Beberapa rakan serumah mangsa pergi ke tingkat atas itu sebelum melihat mangsa sudah terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek serta berlumuran darah. – UTUSAN