Lebih 40 ajaran sesat dipantau pihak berkuasa termasuk dalam maya - Utusan Malaysia

Lebih 40 ajaran sesat dipantau pihak berkuasa termasuk dalam maya

MOHD. Zawawi Ahmad Mughni (dua kiri) dan Zainor Rashid Hassin (kiri) bermesra dengan pengamal undang-undang selepas perasmian Majlis Penutup Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 40 jenis ajaran sesat di negeri ini dikenal pasti sedang giat disebarkan kini dipantau pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihak berkuasa sentiasa membuat pemantauan terhadap sebarang percubaan menyebarkan ajaran yang terpesong daripada agama Islam sebenar dan setakat ini sebanyak jumlah tersebut dilaporkan.

“Kita tidak pernah berhenti daripada memantau ajaran sesat yang dibimbangi memesong akidah umat Islam. Antara ajaran sesat tersebut adalah Ajaran Ibu Yati, Asma Al Husna, Millah Abraham,  Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) atau ajaran Sittah Annur dan Rasul Melayu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Yang hadir sama ialah Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Zainor Rashid Hassin.

Mohd. Zawawi berkata, pihaknya sentiasa memantau dunia siber kerana dibimbangi ajaran yang disebar melalui medium tersebut menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pengamal undang-undang dalam institusi kehakiman dan pendakwaan syariah akan diberi latihan berterusan untuk mengendalikan kes-kes berkaitan dengan jenayah siber.

Jelas Mohd. Zawawi, hakim dan pendakwa perlu didedahkan dari masa ke semasa tentang jenayah dunia siber bagi memastikan aspek penghakiman dan pendakwaan dapat dilaksana dengan lebih telus.

“Latihan adalah berterusan bagi memastikan pihak pendakwaan mahupun kehakiman dapat meningkatkan kemahiran dalam mengendalikan kes mereka dengan sempurna. Banyak kes (jenayah syariah siber) pihak pendakwaan kalah kerana mereka tiada kepakaran dalam bidang tersebut.

“Perkembangan terkini menyaksikan di dunia siber pihak tertentu menyebarkan ajaran sesat mereka hingga menyebabkan kita perlu meningkatkan pengetahuan pihak pendakwaan dan kehakiman dalam aspek tersebut,” tegasnya.

Beliau menambah, kerajaan negeri berdepan cabaran apabila Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 kurang berkesan dalam pendakwaan sesuatu kes berkaitan jenayah siber. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN