PUTRAJAYA: Tiga lagi rumah sembelihan di Queensland, Australia dikesan melanggar protokol halal sembelihan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA).
Penemuan itu disahkan oleh seorang wakil organisasi halal antarabangsa di Filipina yang mahu dikenali sebagai Amin semasa membuat pemeriksaan mengejut di ketiga-tiga rumah sembelihan tersebut.
Rumah sembelihan terbabit turut mendapat pengiktirafan halal badan-badan persijilan halal di negara Asia Tenggara lain. SICHMA pula adalah badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal Australia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Amin mendakwa dua daripadanya tidak mematuhi syarat sah penyembelihan apabila tidak ada penyembelih beragama Islam melakukan prosedur itu.
Lebih mengejutkan, kata beliau, haiwan-haiwan di situ ‘digemukkan’ dengan menyumbat paip air ke dalam mulut demi menaikkan berat badan sebelum haiwan itu mati dan terus dipotong bahagian badannya.
“Pada mulanya kami tidak meragui rumah-rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan SICHMA. Namun, tindakan dan cara rumah sembelihan ini melakukan proses penyembelihan tidak boleh diterima.
“Kami lihat sendiri ketika membuat pemantauan di sana yang pada mulanya mereka enggan membenarkan kami masuk. Dan atas sebab itu kami tidak mengiktiraf rumah sembelihan tersebut termasuk semua rumah sembelihan di Australia,” katanya dalam sidang video di sini semalam.
Justeru, Amin tidak terkejut dengan apa yang didedahkan Utusan Malaysia berhubung prosedur penyembelihan di Thomas Food Industries (TFI), iaitu salah satu rumah sembelihan di Australia tidak mematuhi protokol halal dan menjijikkan.
Menerusi bukti rakaman video dna pengakuan saksi, haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu menyebabkan haiwan itu mati akibat lemas dan bukannya kerana disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.
Pusat penyembelihan di Lobethal, Selatan Australia itu mengeksport kambing ke Malaysia dan Singapura yang ada dalam senarai diiktiraf kerajaan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Susulan itu, Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memutuskan untuk menggantung lesen loji sembelihan TFI itu sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh, namun SICHMA hanya diarahkan memberikan surat tunjuk sebab tanpa mengambil tindakan tegas menarik balik pengiktirafan mereka.
Justeru, katanya, sudah tiba masanya Jakim menilai semula pengiktirafan yang diberikan terhadap SICHMA kerana kredibiliti mereka boleh dipersoalkan dalam membuat penilaian halal terhadap mana-mana rumah sembelihan di Australia.
Katanya, bukan sahaja tidak mementingkan soal pekerja muslim dalam melakukan kerja penyembelihan, malah cara pengendalian terhadap haiwan juga disifatkan kejam dan tidak boleh diterima akal. – UTUSAN










