Ku Li masih main ‘tarik tali’ - Utusan Malaysia

Ku Li masih main ‘tarik tali’

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah belum pasti sama mahu bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mempertahan kerusi Parlimen Gua Musang.

Beliau atau Ku Li berkata, per­kara itu belum difikirkan lagi dan akan menghormati permin­taan akar umbi.

“Saya tak tahu, terpulang kepada ahli-ahli dan parti. Saya sendiri pun dah teruk, kena pakai enjin tiga silinder,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri ADUN Galas di Bandar Utama, di sini, semalam.

Tengku Razaleigh mengakui, ramai pemimpin muda berpotensi menjadi pemimpin pelapis pada masa depan.

Katanya, tidak kira calon muda atau veteran, semua berpeluang untuk menang jika dicalonkan bertanding pada PRU15.

“Veteran atau muda bukan soalnya, tetapi ia mengenai boleh menang atau tak boleh menang. Kalau orang itu baharu, ada masalah integriti atau macam-macam syarat tidak memenuhi kehendak rakyat sehingga dia tak boleh menang, nak buat apa?

“Bertanding nak menang dan letak 100 orang, tetapi 100 tetap kalah. Seperti calon parti-parti yang bertanding di Pilihan Raya Negeri Johor bukan saja kalah dengan teruk tetapi hilang wang deposit,” katanya.

Tengku Razaleigh ialah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen.

Beliau yang kini berusia 85 tahun memenangi kerusi Gua Musang atau dulunya dikenali sebagai Ulu Kelantan sejak tahun 1974 dan terus mengekalkannya sehingga kini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN