Kes Peter Anthony tidak jejas permohonan sertai GRS Utusan Malaysia Kes Peter Anthony tidak jejas permohonan sertai GRS

Kes Peter Anthony tidak jejas permohonan sertai GRS

MASIDI MANJUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kes Peter Anthony tidak jejas permohonan sertai GRS

Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Permohonan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan terjejas susulan kes mahkamah yang membabitkan Presidennya, Datuk Peter Anthony.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun berkata, pihaknya melihat permohonan menyertai GRS membabitkan sebuah parti bukan permohonan bersifat individu.

Jadi, apa juga kes yang dihadapi oleh pemimpin parti itu tidak akan mempengaruhi keputusan GRS dalam mempertimbangkan permohonan KDM.

“Dari segi undang-undang, dia masih mempunyai dua peringkat bagi merayu keputusan mahkamah. Jadi, kita mengandaikan ia peluang untuk beliau (Peter) tidak disabitkan kesalahan.

“Kita tidak mahu membuat tanggapan negatif hanya kerana beliau disabitkan kesalahan pada peringkat awal,” katanya ketika mengulas tentang status permohonan KDM dalam GRS.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran GRS secara rasmi semalam.

Mengulas lanjut katanya, GRS sentiasa bersifat terbuka kerana apa yang penting adalah menyatukan semua kumpulan politik di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, masa untuk berbalah sudah berakhir kini, tiba masa untuk bersatu bagi memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri Sabah.

Menurut beliau, Sabah sudah jauh ketinggalan kerana pemimpin Sabah pada masa lampau banyak menggunakan masa berpolitik.

Maka, pemimpin hari ini perlu bersatu bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan Sabah.

Selepas penubuhan KDM pada 21 Februari lalu, Peter secara terbuka menyatakan hasrat parti itu menyertai GRS. Sehingga kini, permohonan KDM masih belum diterima.

Pada 26 Mei lalu, Peter dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Menakinal dan Elektrikal di Universiti Malaysia Sabah kira-kira lapan tahun lalu. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN