Kes penyakit HFMD di Kedah meningkat - Utusan Malaysia

Kes penyakit HFMD di Kedah meningkat

DR. MOHD. HAYATI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini meningkat sebanyak 47 peratus tahun ini berbanding tempoh sama pada 2019 sebelum pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, statistik Jabatan Kesihatan Kedah menunjukkan kumulatif kes HFMD pada 2022 sebanyak 1,016 kes iaitu 26 wabak juga dilaporkan berlaku dalam tempoh ini.

“Kedah juga mencatatkan sebanyak 102 kes pada Minggu Epidemiologi ke-18 iaitu dari 1 sehingga 7 Mei lepas. Bilangan kes tertinggi didaftarkan di daerah Kuala Muda sebanyak 29 kes, Kota Setar (22 kes) dan Padang Terap (17 kes).

“Trend peningkatan kes HFMD di Kedah pada tahun ini amat ketara bermula pada Minggu Epidemiologi ke-13 dan melebihi paras ambang epidemik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, penyakit HFMD disebabkan oleh jangkitan pelbagai jenis virus, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

“Virus ini merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. Majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan seperti demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

“Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam tempoh tujuh ke 10 hari. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis atau jangkitan otak, pneumonitis (jangkitan paru-paru) dan myocarditis (jangkitan otot jantung),” jelasnya.

Tegas beliau, orang ramai terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga terutama pada musim perayaan ini.

“Antara langkah berjaga-jaga yang perlu diambil termasuk penjagaan kebersihan diri seperti amalan cuci tangan dengan kerap. Selain itu pastikan juga penjagaan kebersihan persekitaran termasuk pemeriksaan atau saringan di pintu masuk taska, tadika, tabika, prasekolah dan sekolah,” katanya.

Tambah beliau, ibu bapa juga dinasihatkan untuk membawa anak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan terutama demam dan ruam di tangan, kaki dan mulut.

“Selain itu, tidak membawa anak-anak ke tempat awam yang sesak seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas. Elakkan menghantar anak yang menunjukkan gejala atau tanda jangkitan ke pusat jagaan kanak- kanak atau sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya