Kes HFMD: Dua kanak-kanak di ICU

Kes HFMD: Dua kanak-kanak di ICU

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sehingga kini terdapat dua kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) positif EV71 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis), berdasarkan data pada tahun ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kes tersebut melibatkan kanak-kanak masing-masing berusia bawah enam tahun. 

“Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) di Malaysia, tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun ini adalah Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71),” katanya dalam kenyataan semalam. 

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 20/2022 (pada 21 Mei), sejumlah 47,209 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 20 kali ganda berbanding pada tahun 2021 sehingga ME yang sama, hanya mencatatkan 2,237 kes.

“Manakala kes dilaporkan bagi ME 20/2022 adalah 15,548 kes berbanding ME 19/2022 iaitu hanya 7,526 kes di seluruh negara, peningkatan sebanyak 106.6 peratus. 

“Peningkatan kes pada ME 20 telah dijangkakan berikutan pergerakan penduduk Malaysia semasa sambutan hari raya,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, sehingga 21 Mei lalu, Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu 13,640 kes (28.9 peratus). 

“Ia diikuti oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya 6,206 kes (13.1 peratus), Perak 4,099 kes (8.7 peratus), Kelantan 3,726 kes (7.9 peratus) dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus), sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 2,500 kes.

“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 43,736 kes (93 peratus), diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 2,765 kes (enam peratus). Selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 696 kes (satu peratus),” jelasnya. 

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 1,168 wabak dilaporkan di Malaysia dengan tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 413 wabak (35.4 peratus), diikuti Selangor 143 wabak (12.2 peratus) dan Perak 130 wabak (11.1 peratus).

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 711 wabak (61 peratus), diikuti oleh rumah persendirian dengan 407 wabak (35 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 42 wabak (tiga peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya