Kerja pembinaan struktur sementara ban Mada pecah siap

Kerja pembinaan struktur sementara ban Mada pecah siap

KEADAAN Terusan Tengah milik Mada di Struktur Alor Limpah, Sungai Santap, Alor Setar yang runtuh pada Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kerja pembinaan struktur sementara susulan runtuhan ban di Terusan Tengah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dekat Struktur Alor Limpah, Sungai Santap di sini pada 9 Mei lalu siap sepenuhnya, kelmarin.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pembinaan struktur sementara itu membolehkan paras air di Terusan Tengah, ditingkatkan ke paras diperlukan untuk kegunaan domestik.

Sebaik struktur sementara itu siap, katanya, MADA telah memulakan operasi kawalan paras air di terusan tersebut dengan membuka pintu Alator Pelubang sebanyak 0.3 kaki, selain membuka pintu struktur Lengkuas Sifon sepenuhnya.

“Langkah itu membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Pokok Sena beroperasi semula menggunakan sebuah pam. LRA Jenun Baru dan Jenun Lama pula sudah boleh beroperasi sepenuhnya.

“Sementara itu, LRA  Bukit Pinang beroperasi dengan menggunakan sumber air dari Sungai Bukit Pinang. Pihak MADA buat masa ini akan memantau paras air di Terusan Tengah supaya operasi LRA dikendalikan Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari Isnin lalu, ban tersebut runtuh hingga menyebabkan air mentah di Terusan Tengah tersebut berkurangan, sekali gus mengakibatkan lebih 30,000 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengalami masalah gangguan bekalan air.

Sementara itu katanya, MADA dalam masa sama akan terus berusaha untuk membina alur limpah secara kekal di tapak tersebut.

Selain itu, katanya, pihaknya akan turut berhubung dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memohon bajet khusus kecemasan, untuk membina satu struktur yang lengkap bagi tujuan pertanian.

“Matlamat kita adalah untuk memulihkan kembali pengairan di Terusan Tengah ini ke tahap sempurna bagi penggunaan domestik serta pertanian.

“Kita mahu pastikan pengairan di seluruh kawasan sawah padi tidak terjejas bagi memastikan kalangan petani dapat meneruskan aktiviti penanaman padi bagi musim satu, 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN