Kerbau, kambing, kuda dilarang ‘lepak’ di masjid, balai raya - Utusan Malaysia

Kerbau, kambing, kuda dilarang ‘lepak’ di masjid, balai raya

PENTERNAKAN ruminan perlu dikawal selia dalam kandang atau tempat berpagar yang teratur tanpa berkeliaran di kawasan awam. - JPV
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bukan sahaja berkeliaran di sekitar jalan raya, malah ternakan ruminan di Pahang dilarang keras ‘melepak’ di kawasan masjid, balai raya atau kawasan perumahan.

Peringatan tegas itu dimuat naik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerusi laman sosial rasmi agensi tersebut yang memetik notis daripada Pejabat Veterinar Daerah Maran berdasarkan Enakmen Kawalan Kerbau-Lembu 2001 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang sebelum diwartakan akhir tahun tersebut.

“Definisi Kerbau-Lembu dalam enakmen ini merujuk termasuk kambing dan biri-biri serta kuda selain kerbau dan lembu yang tanpa mengira situasi umur, jantina atau jenis. Rang undang-undang itu dibentangkan oleh kerajaan negeri tersebut bagi mengatasi masalah keselamatan dan kacau ganggu haiwan berkenaan kepada orang awam sejak sekian lama.

“Larangan tersebut bukan sahaja meliputi mana-mana permukaan jalan sama ada Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), bahkan jarak 20 meter dari bahu jalan terbabit. Tidak ketinggalan, mana-mana lapangan terbuka, tempat letak kereta, kebun bunga, taman atau medan aktiviti rekreasi sama ada terkepung atau tidak.

“Kawasan larangan ini turut membabitkan semua masjid, balai raya, zon perumahan, tapak pasar tani, perhentian bas dan teksi serta destinasi tarikan pelancong di Pahang. Penternak yang berdegil akan dikenakan tindakan menerusi operasi tangkapan berdasarkan aduan diterima oleh pihak JPV dan diselaraskan bahagian penguatkuasaan PBT,” jelas JPV.

Ternakan tersebut boleh ditangkap dengan apa cara yang bersesuaian tanpa perlu sebarang peringatan amaran dan akan ditahan selama tempoh 14 hari di tempat paun awam ditetapkan.

“Kandang ternakan juga boleh diroboh jika dibina di kawasan larangan dan selepas 14 hari tiada tuntutan, haiwan ini akan dilupus sama ada cara sembelih atau dilelong hidup,” katanya.

Rekod agensi itu menunjukkan di Pahang sepanjang tahun lalu terdapat sejumlah 155,686 ekor lembu, sekali gus menjadikan negeri tersebut sebagai penternakan terbesar di Malaysia. Negeri paling besar di Semenanjung itu turut merekodkan sebanyak 11,511 ekor kerbau, 35,830 ekor kambing, 17, 611 ekor biri-biri dan 196 ekor kuda pada tahun lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya