Kerajaan dijangka teliti semula undang-undang tidak boleh dicabar

Kerajaan dijangka teliti semula undang-undang tidak boleh dicabar

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kerajaan dijangka meneliti semula klausa undang-undang yang sebelum ini tidak boleh dicabar di mahkamah berikutan menjadi kuasa mutlak kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini berikutan terdapat klausa di dalam undang-undang yang tidak boleh dicabar, namun sebaliknya berlaku apabila Mahkamah Persekutuan baru-baru ini membenarkan satu kes mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dicabar.

Menurutnya, perkara itu amat penting dan boleh memberikan implikasi besar terhadap badan eksekutif yang memutuskan klausa di dalam undang-undang terbabit.

Sehubungan itu, Wan Junaidi dijangka menemui Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 9 Mei ini, bagi membincangkan beberapa isu penting khususnya berhubung klausa dalam undang-undang itu.

“Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia dan ia akan memberi kesan kepada banyak lagi klausa dalam undang-undang yang sebelum ini tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Sebagai contoh, Kerajaan Sarawak mempunyai klausa undang-undang yang melarang individu tertentu daripada Semenanjung memasuki negeri itu dan ia tidak boleh dicabar di mahkamah. Namun susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, bermakna kes seperti itu kini sudah boleh dicabar di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Libat Urus YB Menteri Bersama Masyarakat  hari ini.

Menurut Wan Junaidi, beliau sudah membuat penelitian dan mendapati kira-kira 60 klausa dalam undang-undang di negara ini tidak boleh dicabar di mahkamah.

Justeru, katanya, perkara itu perlu difikirkan secara mendalam oleh kerajaan dan usaha perlu dilakukan bagi menanganinya.

“Sebab itu, saya akan bertemu dengan Peguam Negara dan berbincang dengannya berhubung isu itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN