RANTAU PANJANG: Kenderaan persendirian dari Thailand dibenarkan masuk ke negeri ini secara sah menerusi tiga pintu utama Stesen Kawalan Sempadan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Jeli bermula 1 Jun ini.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, tindakan itu serentak dengan keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa Malaysia dan Thailand berkait dengan perkara tersebut.
Menurutnya, semua kenderaan persendirian Thailand yang memasuki negara ini perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 1 April lalu.
“Pihak kami (JPJ Kelantan) akan mengeluarkan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) di ketiga-tiga buah Stesen Kawalan Sempadan bagi kemasukan kenderaan persendirian dari Thailand ke negara ini.
“Antara syarat yang dikenakan adalah termasuk borang permohonan Permit Peredaran Antarabangsa (JPJK9), Borang Pengisytiharan Penumpang (JPJK9A), salinan pasport pemohon (pemandu atau pemilik kenderaan), salinan sijil perakuan pendaftaran kenderaan dan sebagainya,” katanya kepada semasa turun padang meninjau Stesen Kawalan Sempadan Rantau Panjang di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Narathiwat, Samphan Yusoff dan Pegawai Daerah Golok, Anirud Buaon.
Mohd. Misuari memberitahu, semua pengembara asing yang masuk ke negeri ini diingatkan sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.
Katanya, pematuhan undang-undang ini sekali gus mampu mengelakkan berlaku kesesakan lalu lintas di pintu sempadan masuk antarabangsa negara.
“Untuk makluman, JPJ Kelantan menjangkakan sebanyak 1,000 kenderaan persendirian dari Thailand akan masuk ke Kelantan pada hujung minggu mulai 1 Jun depan.
“Bagaimanapun, sebanyak 150 buah kenderaan persendirian dijangka memasuki ke negara ini pada hari biasa menerusi ketiga-tiga stesen itu,” jelasnya.
Sementara itu, Samphan berkata, sejak pandemik lalu pekan Golok sunyi sepi tanpa sebarang kegiatan ekonomi sebagaimana sebelum-sebelum ini.
Katanya, pembukaan semula sempadan melalui jalan darat menggunalan kenderaan persendirian pada 1 Jun ini mampu merancakkan proses pemulihan ekonomi di kedua-dua buah negara.
“Orang ramai tidak perlu takut dengan insiden serangan yang berlaku tempoh hari di Tak Bai. Hal ini kerana keselamatan pengunjung terutamanya di kawasan Golok terjamin dan pasukan keselamatan juga kerap membuat rondaan,” jelasnya. – UTUSAN