JOHOR BAHRU: Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang yang membelenggu industri tersebut yang kini baharu ‘hidup semula’ pasca Covid-19.
Pengerusinya, R. Thiagarajan berkata, ramai pengusaha bas terkesan disebabkan kenaikan harga barang antaranya bateri, tayar, minyak enjin dan alat ganti lain yang meningkat antara 20 hingga 40 peratus.
Katanya, SGBM memandang serius terhadap isu itu yang memberi kesan secara langsung terhadap kos pengoperasian pengangkutan bas.
“Bukan itu sahaja, kos upah baik pulih, penyelenggaraan dan upah tenaga kerja di bengkel menunjukkan peningkatan dan menjejaskan tempoh pemulihan bagi pemain industri.
“Kadar tambang dan sewaan yang dikenakan sebelum ini tidak boleh dinaikkan begitu sahaja disebabkan perkara ini menyebabkan pusingan modal bagi sesebuah syarikat semakin berkurangan dan hanya menanggung kerugian dalam masa terdekat.
“Justeru, kami berharap kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya memastikan pengusaha bas tidak terus tersepit. Kami baru dalam proses pemulihan setelah dua tahun terkesan pandemik Covid-19, ini pula yang berlaku,” katanya ketika ditemui semalam.
Thiagarajan berkata, sekiranya perkara itu tidak dibendung, industri akan terus terjejas dan mungkin lebih banyak syarikat mengalami kesukaran dalam tempoh pemulihan sehingga tidak mustahil akan gulung tikar. – UTUSAN










