Keluarga doktor pelatih beri keterangan minggu ini  - Utusan Malaysia

Keluarga doktor pelatih beri keterangan minggu ini 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis akan mengambil keterangan ahli keluarga  doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini yang maut terjatuh dari  tingkap bilik kediaman sewanya di aras 23, sebuah apartment di Jalan Dato Keramat 17 April lalu, minggu ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung punca kematian pegawai perubatan siswazah dari Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang berusia 25 tahun itu.

Menurutnya, polis setakat ini telah selesai merakamkan keterangan daripada doktor dan rakan serumah si mati mengenai kejadian berlaku.

“Polis akan mengambil keterangan  ahli keluarga si mati pada minggu ini. Kita juga masih menunggu keputusan bedah siasat, ujian makmal dan laporan kimia berhubung kematian pegawai perubatan siswazah tersebut.

“Si mati dilaporkan maut selepas didakwa jatuh  dari tingkap bilik rumah sewanya pada 17 April lalu. Setakat ini, kematiannya diklasikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Ma’ arof  Sudin menerusi satu kenyataan mengesahkan kematian Pegawai Perubatan Siswazah  yang baru melaporkan diri di HPP pada 4 April lalu.

“Adalah dimaklumkan bahawa kes ini adalah di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengarahkan bedah siasat dijalankan. Bedah siasat telah dilakukan di Jabatan Forensik HPP. 

“Laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal. Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak PDRM  untuk membantu siasatan mereka.

“Memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan bagi menghormati keluarga  mangsa, JKNPP memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian ini,” ujarnya.

Beliau menambah, pihak JKNPP dan  HPP akan memberi kerjasama penuh kepada PDRM dalam siasatan selanjutnya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN