PARIT: Suasana kelam-kabut ketika Perak menyambut Hari Raya Aidilfitri lebih awal berbanding negeri lain pada tahun 1980-an dirasai kembali oleh seorang peniaga lemang di Kampung Aji Bota Kiri dekat sini.
Ini berikutan pengumuman Hari Raya Aidilfitri tahun ini jatuh pada hari ini.
Mohd. Rizal Zubil, 48, berkata, ketika Perak menyambut 1 Syawal lebih awal sehari berbanding negeri lain pada tahun 1983, dia yang berusia sembilan tahun ketika itu membantu bapanya menyiapkan tempahan lemang raya pelanggan.
Katanya, keadaan kelam-kabut apabila Perak mengumumkan menyambut hari raya sehari lebih awal berbanding negeri-negeri lain pada tahun itu.
“Saya masih ingat, saya membantu bapa membakar lemang untuk menyiapkan tempahan pelanggan disebabkan pengumuman mengejut Perak raya sehari lebih awal.
“Suasana berlaku pada tahun 1980-an itu berulang kembali hari ini apabila seluruh negara diumum berraya lebih awal daripada dijangkakan.
“Suasana Perak raya awal pada tahun itu seakan-akan berulang hari ini apabila saya kelam-kabut membakar lemang raya untuk pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lemang Pak Ubin
Mohd. Rizal yang mewarisi perniagaan membuat lemang arwah bapanya yang dikenali ‘Lemang Pak Ubin’ berkata, sebaik diumumkan hari ini raya, premis membuat lemangnya didatangi pelanggan.
Katanya, dia berusaha menyiapkan lemang untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Saya tidak menerima pembelian secara tempahan sebaliknya jualan secara datang dan terus beli.
“Pelanggan mula datang untuk membeli lemang selepas diumumkan hari raya disambut pada Isnin, disebabkan itu mereka terpaksa menunggu sehingga lemang siap dibakar.
“Saya membakar lemang sehingga pagi bagi memastikan pelanggan yang datang dapat makan lemang pada hari raya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Mohd. Rizal, disebabkan pelanggan datang serentak, dia kelam-kabut untuk proses membakar lemang.
“Semua proses dibuat sendiri seperti membersih buluh, memasukkan daun pisang ke dalam buluh dan santan diproses sendiri.
“Saya dibantu 17 pembantu dan lemang yang kami bakar di atas tong dram, kaedah ini lebih bersih berbanding jika memasaknya di atas tanah,” katanya.
Pada 5ahun 1983, selain Perak dan Johor turut merayakan Aidilfitri sehari lebih awal berbanding negeri-negeri lain.- UTUSAN










