Kapal tangki Singapura, Malabo dan Monrovia ditahan pindah minyak secara haram - Utusan Malaysia

Kapal tangki Singapura, Malabo dan Monrovia ditahan pindah minyak secara haram

TIGA kapal tangki yang melakukan operasi pemindahan minyak secara haram di perairan Johor Timur, Kota Tinggi di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tiga buah kapal tangki berdaftar di Singapura, Malabo dan Monrovia ditahan selepas disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, ketiga-tiga kapal tangki itu ditahan dalam satu operasi melibatkan aset Zon Maritim Tanjung Sedili, sebuah pesawat udara dan tujuh anggota Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia.

Katanya, kesemua kapal tangki tersebut ditahan di kedudukan 9.1 batu nautika timur Tanjung Siang, di sini bermula sejak pukul 12 tengah hari sehingga 7 petang.

“Penahanan terpaksa dilakukan secara force boarding oleh Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia berikutan kedegilan kapal tangki terbabit memberikan kerjasama untuk diperiksa penguat kuasa.

“Kesemua kapal tangki itu dikendalikan 39 kru terdiri daripada warga Indonesia, Singapura dan Russia berusia antara 24 hingga 62 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran dan Seksyen 491B(1)(L) bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, nakhoda ketiga-tiga kapal turut disiasat di bawah Sekyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya bersalah.

“Maritim Malaysia Negeri Johor memberi amaran dan mengingatkan supaya semua kapal-kapal yang menjalankan aktiviti di perairan negeri Johor mematuhi undang-undang bagi mengelak tindakan tegas diambil demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan terus terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya