fbpx

Kaji semula insentif pelaburan sedia ada – MPN 

MUHYIDDIN Yassin ketika mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mahu kerajaan mengkaji semula insentif-insentif pelaburan sedia ada dan memperbaiki ekosistemnya sekali gus menyokong usaha pemulihan negara.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antaranya memberi pengecualian syarat pemilikan ekuiti bumiputera bagi perolehan tanah melebihi RM20 juta bagi pelaburan asing dalam sektor perkhidmatan untuk tempoh selama dua tahun. 

Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan pelaburan asing bernilai RM58 bilion tidak dapat direalisasikan kerana kekangan pelabur bagi memenuhi syarat ini. 

“Syarat ini boleh dikenakan kembali apabila ekonomi pasca pandemik pulih sepenuhnya. Langkah seumpama ini  pernah diambil oleh kerajaan sebelum ini semasa negara menghadapi krisis ekonomi,” katanya menerusi kenyataan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, di sini hari ini. 

Katanya, Malaysia berjaya menarik RM306.5 bilion pelaburan pada tahun 2021 meskipun kekangan akibat pandemik global Covid-19.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, MPN mahu kerajaan merangka inisiatif dan bantuan bagi meningkatkan kapasiti pemain industri pelancongan yang terjejas teruk selama dua tahun lalu. 

Menurutnya, Tourism Malaysia berpendapat masih terdapat peluang menambah baik sektor pelancongan negara berikutan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta pembukaan semula sempadan antarabangsa. 

“Namun begitu, faktor seperti varian Covid-19 baharu serta ketidakstabilan politik global berisiko untuk mengancam proses pemulihan sektor kritikal ini,” katanya. 

Katanya, MPN optimis bahawa prestasi suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan pertambahan yang lebih baik. 

Namun, katanya, dalam usaha pemulihan negara ini, Malaysia perlu berwaspada dengan cabaran-cabaran global masa kini termasuk Perang di Ukraine, status Covid-19 di China dan risiko kemunculan varian baharu Covid-19.

Jelasnya, MPN juga berpendapat usaha terus perlu dilaksanakan bagi memastikan sektor-sektor ekonomi pulih secara sekata dan peluang pekerjaan berimpak tinggi diwujudkan. 

“Ekonomi rakyat perlu diberi keutamaan supaya tiada yang ketinggalan dalam usaha pemulihan negara,” katanya. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!