Kaji keberkesanan vaksin baharu - Utusan Malaysia

Kaji keberkesanan vaksin baharu

NOOR AZMI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Kerajaan akan mengkaji secara keseluruhan tentang vaksin NawsonVacc yang dibangunkan oleh seorang doktor dari India, Dr. Alfred John Prem Raj yang dikatakan mampu menghilangkan simpton Covid-19 dengan kaedah semburan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan akan mengkaji dapatan baharu rawatan Covid-19 itu secara menyeluruh sebelum dilaksanakan di negara ini.

“Kita ada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Farmasi dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) yang akan mengkaji sebarang teknik atau kaedah rawatan berkaitan Covid-19.

“Justeru, sebarang keputusan sama ada untuk membawa masuk atau membuat vaksin itu akan melalui kajian yang rapi sebelum membuat sebarang keputusan.

“Selain program vaksinasi, kerajaan juga telah membeli ubat antivirus Paxlovid yang terbaru dan berkesan sehingga dapat mengurangkan kes hospital sebanyak 80 peratus,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al Baqir, di sini hari ini.

Sementara itu, Nor Azmi berkata, kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh vaksinasi untuk kanak-kanak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang akan berakhir pada hujung bulan Mei ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan telah beri masa yang cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma.

Katanya, jika selepas ini ibu bapa berhasrat untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, mereka perlu mendapatkannya di klinik swasta dengan bayaran.

“Tempoh vaksinasi PICKids yang sepatutnya berakhir pada 15 Mei yang lalu telah dilanjutkan hingga 31 Mei ini  untuk memberi peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan suntikan vaksinasi.

“Jumlah ibu bapa yang membawa anak mereka mengambil suntikan vaksinasi selepas perayaan Aidilfitri semakin meningkat mulai 17 Mei lalu.

“Jumlah kanak-kanak yang mengambil suntikan vaksinasi hingga semalam ialah sebanyak 7,100 orang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN