Jangan jual rumah kurniaan Yasa

Jangan jual rumah kurniaan Yasa

Al-SULTAN ABDULLAH Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga dari kanan) menyampaikan replika kunci rumah kurniaan YASA kepada Shaharim Ahamad Amiruddin di Kampung Tanjung Putus, Dong di Raub, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Penerima rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (Yasa) diingatkan supaya tidak menjual rumah itu bagi mendapatkan keuntungan berganda.

Rumah kurniaan YASA bernilai RM100,000 mempunyai tiga bilik dan dua bilik air serta dilengkapi perabot.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, jika masih berhasrat menjual rumah kurniaan itu, pemilik perlu mematuhi prasyarat mendapat kebenaran pegawai daerah terlebih dahulu.

Tegas baginda, prasyarat ditetapkan bukan bertujuan menyusahkan pemilik tetapi demi menjaga aset itu kekal menjadi milik keluarga turun temurun. 

Baginda mahu rumah kurniaan YASA didiami 30 hingga 50 tahun atau lebih sebagai kediaman selesa sambil menambah sosio ekonomi keluarga.

“Sedihlah saya jika ada berlaku pemilik rumah kurniaan sanggup menjual rumah yang serba lengkap kepada pihak lain,” titah baginda pada majlis pengurniaan kunci rumah YASA kepada penerima di Kampung Tanjung Putus, di sini hari ini. 

Baginda turut mengurniakan rumah YASA kepada penerima Kampung Temau, Kampung Ulu Sungai dan Kampung Sia. 

Yang hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Aziz Kiram; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin dan Pegawai Daerah Raub, Datuk Muhammad Shahid Ismail.

Seri Paduka turut meluangkan masa beramah mesra dengan penerima kediaman itu yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk ketika banjir buruk melanda Pahang awal tahun ini. 

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik, dua bilik air selain dilengkapi ruang makan selesa dan disertakan perabot. 

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan pemaju supaya meminimumkan keuntungan dan memastikan spesifikasi rumah dipatuhi. 

Titah Seri Paduka, baginda tidak mahu tuan rumah terpaksa mengeluarkan peruntukan lain semata-mata untuk membaiki kerosakan rumah kurniaan. 

Seri Paduka dalam pada itu turut memberikan komitmen projek rumah YASA akan terus dibina dari semasa ke semasa supaya lebih ramai rakyat mendapat faedah terutama mangsa banjir.

Seorang penerima rumah YASA, Shaharim Ahamad Amiruddin dari Kampung Tanjung Putus bersyukur menerima rumah baharu kurniaan yayasan terbabit setelah rumah asal dihanyutkan banjir awal tahun ini.

“Kediaman ini begitu selesa untuk kami anak beranak tinggal dan saya amat menghargai dan tidak akan melupakan jasa baginda berdua,” katanya. 

Beliau menjunjung kasih atas keprihatinan baginda yang turut mencemar duli turun padang melihat sendiri hasil pembinaan rumah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN