Hotel Langkawi tak lumpuh - Utusan Malaysia

Hotel Langkawi tak lumpuh

DERETAN bot pelancongan yang membawa pelancong menyusuri kawasan paya bakau di Kilim Karst Geoforest Park, Langkawi. – UTUSAN/SHAHRIL AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah dan Perlis menolak dakwaan mengenai kekurangan pekerja hospitaliti termasuk hotel dan perkhidmatan pelanco­ngan sehingga 30,000 orang yang boleh mengakibatkan industri pelancongan pulau ini lumpuh.

Naib Pengerusinya, Razmi Rahmat berkata, industri perhotelan bukan satu-satunya industri yang menghadapi masalah kekurangan pekerja dan dakwaan industri pelancongan akan lumpuh itu adalah tidak benar.

“Langkawi tak lumpuh. Masa hari raya kita ada sehingga 30 penerbangan masuk ke Langkawi. Mana ada Langkawi lumpuh.

“Kita sekarang di Langkawi, masih sihat dan mampu bayar gaji pekerja. Dakwaan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) adalah terpesong,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia kelmarin yang menyebut industri pelancongan Langkawi mungkin lumpuh berikutan mengalami kekura­ngan tenaga kerja kritikal.

Ia khususnya dalam bidang hospitaliti seperti perhotelan dan peruncitan.

Pengarah Eksekutif MAHO, Shaharuddin M. Saaid yang mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya dimaklumkan, kira-kira 30,000 pekerja hotel dan perkhidmatan hospitaliti itu masih belum diganti sehingga hari ini.

Razmi menambah, jika industri pelancongan di sini lumpuh bermakna hotel akan ditutup dan tidak beroperasi sedangkan industri pelancongan sudah kembali bernafas.

Pihaknya tidak menafikan ada masalah kekurangan pekerja yang dihadapi hotel namun jumlah 30,000 orang yang dinyatakan MAHO tidak benar.

Katanya, selepas sektor pelancongan dibuka semula, hotel ada memanggil semula pekerja yang terpaksa diberhentikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengisi kekosongan jawatan.

Bagaimanapun jelasnya, tidak semua pekerja tersebut mahu kembali kerana sudah selesa bekerja di bidang lain se­perti berniaga makanan semasa PKP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN