Gubah wang haram: Wanita berdepan penjara 15 tahun, denda RM6.65 juta

Gubah wang haram: Wanita berdepan penjara 15 tahun, denda RM6.65 juta

MAZNE Che Mohd. Amin tiba di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk menghadapi 14 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat jual beli sarung tangan berdepan 15 tahun penjara dan denda sehingga RM6.65 juta atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukannya dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Mazne Che Mohd. Amin, 32, mengaku tidak bersalah di atas semua pertuduhannya selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Herlina Sulaiman.

Wanita itu membuat pengakuan demikian terhadap kesemua pertuduhan dibaca ke atasnya yang didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di The Trillium Lake Fields, Sungai Besi.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memindahkan RM1.33 juta daripada akaun milik syarikat NMOQ Trade Sdn. Bhd. yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dari sebuah syarikat kepada sembilan akaun bank milik syarikat lain.

Selain itu, pindahan wang tersebut turut dilakukan ke dalam akaun tertuduh dan tiga individu lain berusia 33 tahun hingga 44 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank lokasi tersebut antara 10 September hingga 15 Oktober 2020.

Justeru, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut perenggan 4(1)(b)Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama subseksyen 87 (1) Akta 613 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama dan dibaca bersama perenggan 87 (1) (a) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan RM50,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, pendakwaan memohon semua pertuduhan itu dibicarakan bersama kes penipuan yang didakwa di mahkamah sesyen lain di sini.

Peguam Luqman Mazlan memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dan anak guamnya akur terhadap syarat-syarat jaminan lain.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri ke balai polis setiap bulan.

Herlina turut membenarkan permohonan pemindahan keseluruhan kes itu ke mahkamah lain dengan sebutan semula diserahkan kepada 13 Jun ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya