Gara-gara 'menghabiskan' duit rakan, wanita sanggup buat laporan palsu - Utusan Malaysia

Gara-gara ‘menghabiskan’ duit rakan, wanita sanggup buat laporan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menyiasat seorang wanita warganegara tempatan berikutan satu laporan palsu dibuatnya.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, pada 19 Mei lalu, pukul 8 pagi, seorang wanita tempatan berusia 28 tahun telah datang ke balai polis untuk membuat laporan mendakwa dirinya telah disamun.

“Wanita itu mendakwa disamun oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di hadapan sebuah gerai menghala ke Desa Permai, bandar Bentong. Dakwanya lagi, dia ditahan oleh seorang lelaki dan mengambil sejumlah RM380 miliknya ketika pulang menghantar anaknya di sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, polis telah merakamkan percakapan wanita berkenaan bagi membuat siasatan kes tersebut.

ZAIHAM MOHD. KAHAR

“Namun, polis mendapati ada keraguan terhadap keterangan diberikan oleh mangsa malah tidak ada sebarang petunjuk kes samun berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa datang semula ke balai polis pada hari yang sama, pukul 7 malam untuk menarik laporan polis.

“Wanita terbabit kemudian telah disoal siasat semula oleh pegawai penyiasat di sini berikutan mahu menarik semula laporan polis. Akhirnya wanita ini telah membuat pengakuan bahawa dia telah mereka cerita telah disamun. Sebenarnya wanita ini telah menggunakan duit rakannya,” katanya.

Zaiham menambah, susulan kejadian itu, polis telah membuat laporan polis ke atas wanita yang membuat laporan palsu itu.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 182, Kanun Keseksaan kerana telah membuat laporan palsu. Sekiranya disabitkan kesalahan, wanita ini akan berdepan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Katanya, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan membuat sebarang laporan palsu dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas pelaku yang tidak bertanggungjawab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya