fbpx

28 Jun 2022, 8:03 pm

  TERKINI

Gadis cuba terjun bangunan akibat kemurungan

SEORANG wanita berdiri di hujung tembok dipercayai cuba terjun dari sebuah bangunan pusat beli-belah dekat Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Masalah kesihatan dan kemurungan dipercayai punca seorang gadis cuba terjun dari tingkat lima sebuah pusat beli-belah di Seksyen 7 di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu disedari orang awam yang terkejut melihat individu berusia 19 tahun berkenaan bersendirian di atas bangunan tersebut.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai cubaan bunuh diri itu pukul 6.04 petang sebelum sepasukan 10 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikerah dalam operasi menyelamat itu.

“Setibanya di lokasi, individu itu didapati masih berada di tingkat lima premis berkenaan dan cuba terjun. Namun, anggota kita bersama pengawal keselamatan berjaya menyelamatkannya selepas memujuk dalam tempoh 30 minit.

“Siasatan awal mendapati wanita itu bekerja di sebuah syarikat swasta di sekitar Shah Alam. Tindakan itu berkemungkinan kerana mangsa mempunyai masalah kesihatan dan kemurungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memaklumkan, mangsa mendakwa hanya mahu menenangkan fikiran dan bukannya membunuh diri.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dipercayai mengalami masalah tekanan dan ‘anxiety’, sementara bapanya pula memaklumkan anaknya itu mendapatkan rawatan terhadap masalah dihadapinuya di Hospital Shah Alam.

“Mangsa menjelaskan tiada niat untuk membunuh diri dan berada di atas tembok itu untuk menenangkan fikiran. Kes setakat ini sudah dirujuk ke HSAS untuk tindakan susulan,” jelasnya.

Mohd. Iqbal menambah, seorang lelaki yang juga rakan mangsa mendakwa melihat status WhatsApp mangsa.

“Menerusi status itu, mangsa menunjukkan gambar berada di lokasi atas bangunan pusat beli-belah tersebut. Lelaki itu kemudian bergegas ke lokasi dan berjaya memujuk mangsa untuk turun,” jelasnya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 30 saat memaparkan individu yang berpakaian lengkap itu seolah-olah mahu terjun dari hujung tingkat lima pusat beli-belah berkenaan. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI