ALOR SETAR: Enam kontraktor didenda sebanyak RM50,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini setelah mereka mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu, bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat pembersihan, tiga tahun lalu.
Hakim, Harmi Thamri Mohamad turut memerintahkan kesemua tertuduh iaitu Zulhilmi Abdul Jabar, 43, Mohd. Yusrizal Ismail, 43, Muhammad Hairi Md. Ismail, 38, Ranzi Halim, 51, Muhammad Amir Che Azid, 36, dan Badaruddin Mohamad, 40, menjalani hukuman penjara selama enam bulan jika gagal melunaskan denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan curangnya mengemukakan penyata akaun palsu enam syarikat berbeza bagi tempoh tiga bulan iaitu Oktober 2018, November 2018 dan Disember 2018, untuk mendapatkan tender dari Syarikat Environment Idaman (Kedah dan Perlis ) Sdn. Bhd.
Tender tersebut berkaitan dengan penswastaan kutipan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara, dalam negeri ini.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 Januari 2019 hingga 22 Januari di Pejabat E-Idaman Sdn. Bhd., dekat Bandar Baru Stargate, di sini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Tertuduh pertama, kedua dan kelima diwakili peguam, Intan Nursyafina Baharudin manakala tertuduh ketiga, keempat dan keenam diwakili peguam, Syed Fakhruzzaman Syed Mansor.
Ketika membacakan penghakimannya, Harmi Thamri mengingatkan kalangan tertuduh bahawa wang yang diperoleh secara menipu adalah tidak berkat.
Selain itu, beliau turut menasihatkan tertuduh agar tidak mengulangi tindakan tersebut memandangkan kalangan tertuduh memiliki rekod yang baik dalam melaksanakan kerja-kerja kontrak diamanahkan, yang sepatutnya boleh membantu mereka untuk mendapatkan rezeki dengan cara baik.
Kesemua tertuduh difahamkan membayar denda ditetapkan itu.-UTUSAN










