SEREMBAN: Kes penipuan Macau Scam terus berleluasa dan seolah-olah tiada berkesudahan dan kali ini mangsanya melibatkan seorang eksekutif syarikat yang terpedaya dan kerugian sebanyak RM205,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd. Ghani berkata, mangsa iaitu wanita berusia 51 tahun menerima panggilan dari sindiket Macau Scam pada awal September tahun lalu ketika berada di rumahnya di Bandar Enstek, Nilai di sini.
Menurutnya, mangsa pada awalnya menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mengakui pihak insurans yang kemudian memaklumkan mangsa ada membuat pengeluaran wang insurans sebanyak empat kali.
“Wanita terbabit seterusnya dihubungi oleh seseorang yang mengakui sebagai Inspektor Chong dari Bahagian Komersial Pudu untuk laporan berkenaan akaun insurans tersebut.
“Lelaki terbabit memaklumkan mangsa mempunyai waran tangkap dan terlibat dengan pengubahan wang haram dengan seorang lelaki bernama Lim Lam Seng.
“Mangsa diminta membuka akaun bank dan serahkan maklumat perbankan dalam talian kepada Inspektor Chong dan mengeluarkan wang dari akaunnya untuk dimasukkan ke dalam akaun yang baharu dibuka itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Aibee, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang diperdaya juga membuat dua pinjaman peribadi masing-masing sebanyak RM62,000 dan RM20,000.
“Kesemua wang berkenaan termasuk duit mangsa sendiri berjumlah RM123,000 dimasukkan ke dalam akaun baharu yang dibuka berkenaan. Mangsa yang berasa tertipu membuat laporan di Balai Polis Labu di sini semalam bagi tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN