Doktor pelatih dibuli, Exco Melaka tawar aduan terus - Utusan Malaysia

Doktor pelatih dibuli, Exco Melaka tawar aduan terus

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mana-mana doktor pelatih berkhidmat di Melaka yang berdepan situasi dibuli begitu teruk sehingga menjatuhkan maruah, boleh membuat laporan terus kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, amaran keras juga diberikan kepada pegawai perubatan ataupun pakar yang sesuka hati membuli doktor pelatih tanpa belas kasihan.

Tegas Muhamad Akmal, ini kerana mereka sepatutnya perlu dilatih dan bukannya dibuli sesuka hati.

“Saya juga pernah menjadi doktor pelatih selama dua tahun di Hospital Ampang, Selangor dan merasai bagaimana perit untuk belajar dan menimba pengalaman menjadi seorang doktor. Walaupun perit tetapi tidak pernah sesekali senior, pegawai perubatan ataupun pakar membuli sehingga menjatuhkan maruah saya.

“Maka itu tidak menjadikan alasan doktor pelatih ini diperlakukan seperti tiada perasaan, semua itu tidak menjadi alasan untuk mereka ini boleh dibuli sehingga menjatuhkan maruah mereka.

“Jika mana-mana doktor pelatih dalam Melaka yang mempunyai situasi dibuli sehingga menjatuhkan maruah, anda boleh maklumkan kepada saya secara terus untuk saya siasat sendiri dan ambil tindakan jika ia benar-benar berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muka hadapan Utusan Malaysia hari ini melaporkan, siasatan awal polis berhubung kes doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang maut terjatuh dari bangunan pangsapuri di Jalan Dato Keramat pada 17 April lalu mendapati, si mati pernah mengadu terbeban dengan tugas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil keterangan daripada rakan serumah si mati baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut beliau, siasatan akan dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk melibatkan elemen jenayah mahupun masalah peribadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN