Daniel’s Corner lambang sayang anak - Utusan Malaysia

Daniel’s Corner lambang sayang anak

KUALA KUBU BHARU 20 APRIL 2022 - Temuramah anak autisme buat bakeri dan penanaman cili di Daniel's Corner @umi Katering, di sini, hari ini. GAMBAR-MOHD FIRDAUS MOHD JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Demi kelangsungan hidup anak syurga mereka, pasangan suami isteri ini sanggup berkorban wang ringgit dan masa demi membina bengkel biskut serta membuka ladang cili di Kuala Kubu Bharu sebagai sumber pendapatan anak istimewa itu.

Shuhaila Saidon, 49 dan suami, Mohd Idham Atan, 49, membuka perniagaan itu sejak empat bulan lalu dengan harapan agar anak sulung mereka, Muhammad Daniel,21, yang mengalami autisme, disleksia dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) ringan, berupaya menjana pendapatannya sendiri kelak.

Bengkel dikenali sebagai Daniel’s Corner itu mengeluarkan aneka biskut sesuai untuk dihidangkan di Aidilfitri serta minum petang.

Daniel’ Corner juga mampu menghasilkan 40 balang biskut menerusi 20 hingga 30 bancuhan sehari.

Si bapa pula mendidik anak bertani di ladang cili yang terletak di dalam kawasan Akademi Bomba berhampiran gerai berkenaan. Di ladang itu, Muhammad Daniel diajar menyemai cili, membaja dan membungkus sebelum dijual.

“Sebagai ibu bapa, kami risau dengan masa depan anak istimewa ini. Setiap hari sering bermain-main di fikiran, bagaimana keadaan Daniel bila kami sudah tiada nanti? Mampukah dia menjaga diri dan mencari rezeki sendiri tanpa perlu meminta-minta? Disebabkan persoalan inilah, kami rasa penting untuk merancang masa depannya dari sekarang.

“Justeru, kami merancang membina perniagaan dan produk untuk Daniel. Kami ajar dia cara menguruskan perniagaan dari mula sampai akhir. Saya sendiri mengajarnya membuat biskut, mencipta resipi dan membungkus manakala ayahnya pula mendidiknya untuk menguruskan kewangan atau akaun,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini

Katanya lagi setakat ini memang dia belum boleh menyerahkan sepenuhnya urusan bengkel itu kepada Muhammad Daniel tetapi anaknya itu sudah belajar banyak perkara termasuk boleh membuat biskut, mengendalikan mesin adunan biskut dan oven tetapi dengan pemantauannya.

Setakat ini, bengkel berkenaan sudah mengeluarkan sebanyak lapan jenis biskut dan antara yang menjadi kegemaran seperti Dark Handsome yang juga adalah hasil resipi Daniel sendiri, Onde-Onde, Crazy Choc Sea Salt, Belgian Redvelvet, Creamy Biscoff, Oat and Raisin, Pecan Gula Melaka dan Almond Suji.

Sebanyak 400 balang sudah terjual sejak awal Ramadan lalu dan kini Daniel’s Corner masih terus menerima tempahan daripada pelanggan sekitar Lembah Klang.

Keenakan biskut dihasilkan Daniel’s Corner memang tidak dapat dinafikan malah biskut Crazy Choc Sea Salt turut mendapat perhatian isteri kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin iaitu Nori Abdullah yang turut menempah sehingga 200 balang biskut berkenaan sebelum ini.

PENDEDAHAN ILMU
Selain bengkel biskut, Muhammad Daniel turut didedahkan dengan ilmu pertanian menerusi projek penanaman cili merah yang dijalankan dengan kerjasama Akademi Bomba di situ.
Setakat ini sebanyak 1,200 pokok cili ditanam di dalam beg polister dan dibungkus serta dijual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutusan (FAMA).

“Selain memastikan Daniel ada pendapatan sendiri, saya juga berharap bengkel dan ladang cili ini nanti turut memberi peluang kepada anak-anak istimewa lain menjana pendapatan. Mereka boleh datang untuk membantu Daniel buat biskut atau petik cili dan kami beri mereka token. Begitu juga dengan pelajar sekolah atau universiti yang ingin cari pendapatan tambahan semasa bercuti juga dialu-alukan untuk datang membantu.

“Saya nak buka mata masyarakat bahawa anak-anak istimewa ini sebenarnya berbakat dan boleh cari rezeki sendiri sekiranya diberikan latihan bersesuaian. Ramai ibu bapa buntu bila fikir nasib anak masing-masing kerana selepas tamat persekolahan ramai yang tiada arah tuju,” katanya.

TAMPIL MEMBANTU
Shuhaila berharap lebih banyak pihak tampil membantu anak-anak istimewa ini terutama mereka yang tinggal di luar bandar dan ketinggalan dalam banyak segi berbanding anak-anak istimewa di bandar di mana ibu bapa mereka berpendidikan tinggi dan tiada masalah daripada segi kewangan.

Tambahnya lagi, ibu bapa adalah guru yang tepat untuk anak kerana mereka saja yang faham keperluan cahaya mata masing-masing. Justeru, Shuhaila menasihatkan ibu bapa mencari ilmu untuk membantu anak istimewa mereka merancang masa depan.

“Saya sendiri terpaksa keluar mencari ilmu untuk mendapatkan pendedahan mengenai anak istimewa termasuk menghadiri program kesedaran dan bertemu ibu bapa yang ada anak istimewa. Ibu bapa sebenarnya kena rancang dari sekarang. Masa Daniel kecil, dia tidak boleh urus diri sendiri. Saya ajar dia pengurusan diri termasuk mengemas bilik sendiri sehingga dia jadi seorang sangat pembersih.

“Bila remaja, saya didik dia cara bersosial pula, bagaimana berkomunikasi dengan orang dan mula ajar sedikit ilmu perniagaan ketika dia berusia 18 tahun. Memang tidak dinafikan banyak cabarannya untuk sampai ke setiap peringkat tetapi kenalah bersabar,” katanya.

Menyingkap rahsia kejayaan menembusi pasaran biskut, Shuhaila berkata dia kerap membuat promosi setiap kali menyertai program anak-anak autisme dan program CSR lain. Walaupun hanya bawa 30 botol saja tetapi dia yakin dengan produk yang berkualiti, ia akan dicari pelanggan.

‘Nak jumpa Neelofa belajar berniaga’
Jiwa berniaga semakin menebal dalam diri Muhammad Daniel sejak berjinak-jinak dengan perniagaan biskut dan cili malah dia juga menyimpan hasrat mahu bergelar usahawan berjaya suatu masa nanti.

Daniel yang berjaya menghasilkan resipi biskutnya sendiri, Dark Handsome yang menjadi kegemaran pelanggan, berkata dia amat mengagumi kejayaan Neelofa dalam bidang perniagaan dan menyimpan impian untuk mengikut jejak langkah usahawan jelita itu.

“Saya bangga sebab sekarang sudah ada perniagaan saya sendiri. Kalau ikutkan memang penat sebab setiap hari kena bangun awal tapi tidur lewat. Hendak tak hendak kena buat juga sebab nak cari pendapatan sendiri. Banyak cabaran nak mula berniaga ni tapi tak susah sebab semuanya atas diri sendiri. Nak tak nak kena belajar.

“Sumber inspirasi saya adalah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan usahawan pula, Neelofa. Harap satu hari nanti saya dapat jumpa dia. Kalau boleh saya nak berjaya seperti mereka suatu hari nanti. Saya nak jadikan bengkel ini kafe seperti Starbucks,” katanya ramah.

Daniel mengakui dirinya kini lebih seronok dengan aktiviti membuat biskut dan bekerja di ladang cili bersama bapanya. Dia juga terbiasa tidur lewat setiap hari malah pernah berjaga sehingga jam 3 pagi untuk menyiapkan tempahan biskut yang diterima daripada pelanggan.

Muhammad Daniel mengalami masalah sukar menelan makanan pejal seperti nasi dan hanya makan bubur nasi cair serta susu khas sejak kecil.

Malah kisahnya yang unik ini juga pernah mendapat perhatian media dan disiarkan dalam majalah serta akhbar utama tanah air ketika kanak-kanak dan remaja.

Setiap kali disuapkan makanan pejal, ia seakan tersekat pada kerongkong saja dan akan dimuntahkan sehingga menyebabkan sakit perut.

Muhammad Daniel disahkan mengalami masalah pemakanan dan ketika usianya tujuh tahun dan dirawat oleh Pakar Psikologi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, Dr. Khamsiah Ismail sejak usia 8 tahun.

Kata-kata semangat daripada Dr. Khamsiah yang meninggal dunia beberapa bulan lalu akibat Covid-19 supaya Daniel mengeluarkan produk sendiri untuk dijual, kekal dalam memorinya.

Daniel gembira akhirnya dapat merealisasikan impian doktor kesayangannya itu walapun arwah tidak dapat menyaksikan kejayaannya hari ini.

“Selain besarkan perniagaan, saya teringin untuk pergi ke Makkah,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya