Cara Barat urus krisis Ukraine-Russia boleh cetus Perang Dunia III

Cara Barat urus krisis Ukraine-Russia boleh cetus Perang Dunia III

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) membantu Ukraine dalam krisis dengan Russia dibimbangi bakal mencetuskan pula kancah Perang Dunia Ketiga.

Amaran itu disuarakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berkongsi pandanganya pada hari kedua persidangan Nikkei – Masa Depan Asia di Tokyo, Jepun hari ini.

Veteran politik itu malahan pada masa turut melahirkan kebimbangan penawanan Russia ke atas Ukraine juga berpotensi membawa kepada risiko satu lagi siri perang dunia yang baharu.

“Saya sebenarnya khuatir kerana kebanyakan perang sebelum ini ada kecenderungan untuk bermula dari skala kecil sebelum berkembang besar untuk menjadi perang dunia,” katanya.

Persidangan edisi ke-27 itu merupakan acara tahunan sejak 1995 anjuran akhbar kewangan ternama Jepun, Nikkei yang mengungkap suara pemimpin Asia dalam pelbagai isu semasa.

Acara tersebut turut menjadi tumpuan dunia kerana dianggap mengimbangi pengaruh suara Barat dalam World Economic Forum berpusat di Geneva, Switzerland yang wujud sejak 1971.

Russia melancarkan operasi ketenteraan pada 24 Februari lalu kerana berang tindakan AS memungkiri janji apabila memperluaskan pengaruh geopolitik terhadap rantau Eropah Timur.

Kremlin mendakwa terpaksa menakluk Ukraine sebagai penampan bagi menyekat AS yang mahu membina pangkalan hadapan di negara Eropah itu pasca Kesatuan Soviet pada 1991.

Mengulas lanjut, Mahathir, 96, mengkritik Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang masih membekalkan senjata kepada Kyiv tetapi ‘berlakon baik’ tidak terlibat dalam krisis itu.

“Langkah ini membuka risiko dan menekan Russia untuk bertindak melancarkan perang lebih besar yang berpotensi akan membabitkan banyak negara lain pula selepas ini,” tambahnya.

Justeru, beliau menegaskan pertempuran yang berlaku ketika ini seharusnya ditamatkan segera menerusi cara rundingan, bahkan perang itu sendiri tidak wajar timbul pada zaman ini.

Sambil mengajak mereka mengimbau sejarah Perang Dunia Pertama dan Kedua, beliau berkata, ramai generasi lama telah semakin lupa mengenai pengajaran dua peperangan tersebut.

Dalam nada sedih, Mahathir masih ingat apabila Perang Dunia Kedua berakhir ketika beliau berusia 20 tahun, serta menyifatkan perang baharu tidak akan menamatkan perang yang lain.

Pada masa sama, beliau menyelar sikap pentadbiran AS yang kelazimannya akan menekan sesebuah negara bagi berlaku perubahan kepimpinan agar dapat dibentuk pemimpin boneka.

“Apabila rakyat negara tersebut tidak bersetuju, AS akan mengambil tindakan ketenteraan dan sebab itulah ketegangan selalunya meningkat jika melibatkan campur tangan AS,” katanya.

Beliau turut menganggap dunia ketika ini kembali dibahagikan kepada dua blok iaitu Barat serta Komunis dan bekas Komunis iaitu Russia, China, Korea Utara selain sekutunya yang lain.

Keadaan itu dapat dilihat apabila ada kecenderungan Barat melabelkan negara tertentu sama ada sebagai sahabat atau musuh yang seperti mengulangi trend era Perang Dingin dahulu.

Bagaimanapun Mahathir secara peribadi melihat China tidak memberi sokongan kuat kepada Russia dari segi politik namun negara Komunis itu dilihat lebih kepada kepentingan ekonomi.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata, bagi Beijing, keamanan itu adalah jauh lebih baik manakala perang pula sebaliknya kerana ekonominya berkembang pesat ketika zaman aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya