LUMUT: Walaupun tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih menjadi teka-teki, Barisan Nasional (BN) membuat persiapan rapi bagi menghadapinya terutama dalam membina kekuatan dan persefahaman antara parti komponennya.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, antara persiapan dilakukan adalah mengadakan Konvensyen BN dan sambutan ulang tahun gabungan parti itu ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Rabu ini.
“Kita difahamkan sejak sekian lama, BN tidak membina ‘bonding’ (ikatan) yang kuat, (jadi) konvensyen ini adalah mustahak untuk membina ‘bonding’ tersebut dan dalam usaha membuat persiapan awal (PRU-15).
“Justeru, kita mahu bawa semua anggota komponen BN untuk bersama-sama membina semula kekuatan dan persefahaman dalam usaha membuat persiapan khususnya dalam menghadapi PRU-15.
“Ia kerana PRU-15 jika ikut tempoh waktu sehingga (Mei) 2023, tetapi dalam tempoh itu bila-bila masa sahaja boleh diadakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Dewan Merdeka, Seri Manjung, petang semalam. – UTUSAN