Bersama membantu pasukan keselamatan

Bersama membantu pasukan keselamatan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan sumbangan bingkisan juadah kering sempena Aidilfitri kepada para petugas PGA di Pos sekatan jalan raya Kuala Perlis, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Semua anggota masyarakat hendaklah sentiasa berusaha bagi membantu pasukan keselamatan dalam memperketatkan kawalan sempadan negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, rentetan pembukaan semula pintu sempadan negara, usaha pasukan keselamatan dalam memperketatkan kawalan sempadan negara hendaklah disambut baik.

Titah baginda, peranan yang boleh dimainkan masyarakat dengan menjadi mata dan telinga bagi melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dalam kawasan kejiranan atau tempat kerja masing-masing.

“Ia sekali gus dapat memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan berkait penyeludupan termasuk soal kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dikekang dengan sebaik mungkin,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyantuni dan menyampaikan sumbangan bingkisan juadah kering sempena Aidilfitri kepada para petugas  Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos sekatan jalan raya Kuala Perlis, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Di kesempatan sama, baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga pasukan keselamatan negara tidak kira di mana sahaja mereka. 

“Dengan harapan semoga Allah SWT sentiasa memberikan seluruh keluarga tersayang mereka dengan keselamatan dan kebaikan, dikurniakan ganjaran setimpal di sisi-Nya serta memelihara segala harta benda mereka,” titah baginda.

Baginda berdua turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah atas komitmen petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), seluruh warga Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta seluruh agensi yang setia berkhidmat bahkan sanggup bergadai nyawa sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN