Berebut kereta pergi beraya, adik cederakan abang guna pisau - Utusan Malaysia

Berebut kereta pergi beraya, adik cederakan abang guna pisau

NABIL Sarip diiring anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan pisau. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara berebut kereta untuk pergi beraya, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan pisau sehingga parah pada pagi Hari Raya Aidilfitri, 2 Mei lalu.

Tertuduh, Nabil Sarip, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap abang kandungnya, Muhamad Farok Sarip, 38, menggunakan sebilah pisau pemotong ayam.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 10 pagi di Taman Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Sabit kesalahan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu di sebuah pusat boling boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Difahamkan kejadian berlaku selepas tertuduh dan mangsa bertengkar gara-gara berebut kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik ibu mereka untuk pergi beraya.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari memohon agar jaminan tidak diberikan dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang beralamat sama dengan tertuduh.

Tertuduh yang diwakili Peguam Amrit Singh merayu nilai jaminan direndahkan dengan alasan perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa dalam apa juga cara.

Hakim kemudian menetapkan 7 Jun depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya