PETALING JAYA: Majikan daripada pelbagai industri digalakkan menggaji bekas penagih atau banduan yang sudah menjalani proses rehabilitasi bagi mengisi kekosongan tenaga kerja yang kritikal ketika ini.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, golongan berkenaan berhak mendapat peluang sama rata untuk menyumbang kepada industri.
Malah, menurut beliau, setiap majikan perlu bersikap terbuka dan yakin menerima golongan-golongan tersebut.
“Apabila golongan pesalah itu sudah pun dikenakan tindakan daripada undang-undang, maka mereka menjalani proses rehabilitasi untuk kembali ke pangkuan komuniti. Jadi, ia adalah tanggungjawab kita untuk menerima mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, industri pelancongan berisiko lumpuh kerana kekurangan tenaga kerja kritikal khususnya dalam bidang hospitaliti seperti perhotelan dan peruncitan hingga tidak mampu menampung permintaan tinggi pelancong.
Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, golongan bekas pesalah itu boleh dilihat sebagai satu tenaga sumber dalam menggerakkan ekonomi kembali secara total.

Bagaimanapun, katanya, golongan bekas pesalah yang ingin ditawarkan kerja itu perlu membuktikan kemampuan mereka khususnya daripada aspek sikap.
“Sebelum pengambilan perlu adakan tapisan dan semakan latar belakang supaya mereka yang tidak pulih 100 peratus tidak diambil kerja kerana bimbang jika mereka peroleh sumber pendapatan terus terlibat dengan aktiviti jenayah seperti penyalahgunaan dadah.
“Mereka yang ditawarkan juga perlu mempunyai kemahiran dan dilatih mengikuti bidang-bidang tertentu kerana jika tidak, mereka tidak dapat membantu pihak majikan beroperasi secara penuh,” ujarnya. – UTUSAN










