PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terlibat dalam tanah runtuh disebabkan kejadian kepala air di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu bagi meringankan beban akibat kerosakan peralatan rumah yang akan disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali bersama-sama Setiausaha Politik Perdana Menteri semasa mereka melawat mangsa nanti.
Beliau yang kini berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri tugas rasmi iaitu Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington, amat bersimpati dengan kejadian berkenaan akibat hujan lebat di kawasan hulu (kawasan gunung Nuang) mengakibatkan fenomena kepala air.
“Penduduk terbabit dalam keadaan selamat dan ramai yang sudah pulang untuk mengemas rumah.
“Saya menasihatkan agar penduduk di sekitar itu sentiasa berhati-hati kerana walaupun keadaan air sungai sudah kembali surut namun ia masih agak deras dan keruh,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Perdana Menteri pada masa sama berterima kasih kepada agensi penyelamat yang menghulur tenaga membantu mangsa.
Semalam, sebanyak 140 buah rumah melibatkan 450 mangsa di Janda Baik dikejutkan dengan kejadian kepala air yang memasuki rumah dan menghanyutkan harta benda termasuk kereta sehingga dibawa arus masuk ke dalam sungai.
Insiden air deras bersama lumpur itu berlaku pada pukul 3 pagi ketika hujan lebat melanda kawasan itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan memaklumkan, hujan terlampau lebat awal pagi semalam merupakan antara punca utama kejadian banjir di kawasan hulu mengakibatkan berlakunya limpahan air dari sungai berhampiran.
Ia juga lanjutan daripada keadaan sungai yang cetek disebabkan banjir besar pada 17 Disember tahun lalu. – UTUSAN