Bantuan kepada mangsa ribut sedikit

Bantuan kepada mangsa ribut sedikit

MOHD. Asmirul Anuar Aris (kanan) melawat seorang mangsa ribut di Kampung Lemping, Mukim Kubang Rotan, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Usaha Kerajaan Negeri Kedah dalam membantu penduduk yang terjejas akibat kejadian ribut di negeri ini dipersoalkan kerana jumlah sumbangan yang diterima mangsa bencana tersebut terlalu sedikit.

Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, beliau dimaklumkan kerajaan negeri ketika ini hanya memberikan bantuan sebanyak RM200 hingga RM300 sahaja kepada mangsa ribut walaupun rumah mereka mengalami kerosakan teruk.

Keadaan itu, katanya, berbeza sama sekali sewaktu zaman Pakatan Harapan (PH) diketuai Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memerintah sebelum ini kerana setiap rumah dilanda ribut, dibaiki sepenuhnya dengan dana yang diperoleh daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Sewaktu zaman kami (PH) memerintah dulu, rumah-rumah yang dilanda ribut diperbaiki dengan menggunakan dana berjumlah RM10 juta diberikan Nadma. Wang tersebut diperoleh setelah Menteri Besar ketika itu mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan terutamanya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Kita tidak gunakan dana negeri sebaliknya mendapatkan wang untuk membantu rakyat dengan meminta dana daripada kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, sewaktu zaman pemerintahan PH, sebanyak 144 rumah di kawasannya telah dibaiki dengan ada antaranya kos melebihi RM10,000 sebuah.

“Kalau sekarang ini kita bagi RM200, macam mana sangatlah kita dapat bantu mangsa ribut. Lawatan saya di beberapa kawasan terjejas di Pengkalan Kundur dan Kuala Kedah mendapati mangsa ribut tidak mempu membaiki rumah mereka dan terpaksa beraya dalam rumah yang rosak walaupun kejadian ribut berlaku lebih sebulan lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×