PUTRAJAYA: Kerajaan memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam sebagai langkah drastik menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini.
Menurut beliau, dengan pemansuhan keperluan permit itu, ia bermakna sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini, berbanding kemestian AP.
“Saya percaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan umum secara terperinci tapi kita setuju tadi tiada lagi AP import untuk bahan makanan. Kalau dulu ada AP lembu, AP daging, AP macam-macam, mulai hari ini tidak ada AP lagi.
“Kita buka kepada sesiapa sahaja untuk mengimport makanan masuk ke negara kita. Sesiapa sahaja boleh mengimport makanan dari luar untuk pastikan kita cukup bahan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri 2022 ‘Semarak Aidilfitri, Keluarga JPM dirai’ di sini semalam.
Baru-baru ini, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar dalam kolum Minda Pengarangnya membangkitkan tentang Malaysia dalam bahaya berhubung food security.
Pada 2020, Malaysia mengimport produk makanan bernilai RM55.5 bilion. Defisit import kepada eksport makanan naik paling pantas iaitu 24 peratus atau RM21.7 bilion. Itu sama dengan bayaran khas RM500 Aidilfitri kerajaan selama 21 kali.
Dalam tempoh 10 tahun, kos terkumpul import makanan negara adalah RM482.8 bilion atau tujuh kali ganda peruntukan pembangunan dalam bajet 2021. Malaysia kini terlalu bergantung kepada import walaupun negara ini subur dan jutaan ekar tanah tidak dimanfaatkan.
Negara mengimport daging kambing bernilai RM879.4 juta, mangga (RM87.9 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan daging lembu (RM2.2 bilion) pada tahun 2020.
Tahun lalu, Malaysia mengimport makanan berkaitan daging bernilai AS$236 juta atau RM1 bilion dari Australia.
Ismail Sabri berkata, Kabinet turut membincangkan dan mengarahkan MAFI mengambil tindakan segera dalam menangani kos sara hidup.
Jelas Perdana Menteri, bagaimanapun kenaikan kos sara hidup agak sukar untuk dielakkan kerana ia melibatkan fenomena global akibat daripada peperangan antara Russia dan Ukraine yang memberi kesan kepada seluruh negara dalam dunia.
Menurut beliau, berbanding negara lain, ia memberi implikasi dari segi peningkatan inflasi, namun Malaysia masih kekal di paras 2.2 peratus.
“Negara lain di Amerika Syarikat (AS) sudah 8.7 peratus (inflasi), kesan daripada perang ini besar dan kita minta supaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil tindakan segera bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup yang meningkat.
“Dari segi jaminan keselamatan dan bekalan makanan pula, kita minta supaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengemukakan segera cadangan jangka pendek dan jangka panjang untuk pastikan kesan daripada perang tidak memberi kesan kepada jaminan makanan di negara ini.
“Kita tahu seluruh dunia bimbang, bukan kita sahaja bimbang, seluruh dunia bimbang dengan kesan perang ini yang menyebabkan berlaku kekurangan dari segi bekalan makanan, jadi kita tunggu kementerian tersebut untuk membuat pengumuman,” katanya. – UTUSAN










