Anggota polis cedera dilanggar penunggang motosikal tiada lesen memandu - Utusan Malaysia

Anggota polis cedera dilanggar penunggang motosikal tiada lesen memandu

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri dan melanggar anggota polis yang dalam penugasan ketika kejadian di tepi jalan Batu 1, Jalan Pantai, berhampiran Kilang Petron Shell Gate, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, tiga anggota polis semasa dalam penugasan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) terserempak dengan motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang seorang lelaki.

“Semasa anggota cuba menahan suspek bagi tujuan pemeriksaan, suspek bertindak cuba melarikan diri dan telah melanggar salah seorang anggota sebelum suspek terjatuh dan melanggar penghadang jalan. Semasa kejadian, kesemua anggota berpakaian uniform polis.

“Suspek kemudian ditahan oleh anggota ronda tidak jauh dari tempat anggota polis yang dilanggar. Mangsa yang dilanggar suspek telah mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala suspek turut mengalami kecederaan di bahagian bahu dan kaki akibat terjatuh dari motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidi Sham, suspek dan mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan sebelum dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek melarikan diri dan melanggar anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan kerana tidak mempunyai lesen memandu.

“Suspek yang ditangkap berusia 19 tahun telah dibawa ke Mahkamah Port Dickson pada hari ini untuk perintah tahanan reman dan diluluskan selama tiga hari sehingga 15 Mei ini. Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun, atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.