KUALA TERENGGANU: Tiga kenderaan yang bernombor pendaftaran MIRA, DINA dan J3H3 ditahan polis dalam pemantauan kelancaran trafik serta samseng jalanan sempena Op Selamat 18 di negeri ini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ismail Man berkata, kesemua kenderaan berkenaan ditahan di Padang Midin di sini dan Kuala Nerus antara pukul 3.24 petang hingga 7.25 malam.
Katanya, nombor pendaftaran MIRA dan DINA itu dikesan digunakan pada kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang dipandu lelaki berusia 36 dan 34 tahun dari daerah ini.
“Skuad 42 JSPT Terengganu menahan Alphard MIRA dan pemandunya pada pukul 3.24 petang disusuli 20 minit kemudian, kenderaan sama bernombor pendaftaran DINA.
“Kedua-dua pemiliknya memberikan alasan teruja memperoleh kenderaan baharu sempena Aidilfitri hingga mendorong mereka mengubah suai lima huruf atau nombor terakhir pendaftaran MPV masing-masing untuk didedikasikan atas nama isteri atau seseorang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, kenderaan ketiga iaitu Volkswagen Golf MK6 bernombor pendaftaran J3H3 yang dipandu lelaki berusia 24 tahun pula ditahan di Bandar Baru Kuala Nerus
Katanya, ketiga-tiga kenderaan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 108 (3)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, pemilik MIRA, DINA dan J3H3 boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara antara setahun hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Dalam kesibukan menyambut Syawal, undang-undang jalan raya mestilah dipatuhi sepenuhnya dan pastikan nombor pendaftaran kenderaan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN